Search This Blog

Loading...

Tuesday, 1 June 2010

Dasar 1Murid 1Sukan

Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar 1Murid 1Sukan mulai 2011 sebagai usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Hasrat kerajaan ialah menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana telah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum yang menjadi harapan negara dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia.



Menceburi bidang sukan memerlukan semangat setiakawan dan berpasukan di samping melahirkan lebih ramai atlet yang berkelibar dan mampu bertanding di peringkat antarabangsa. Usaha mencungkil bakat dan melatih atlet perlu dilaksanakan di peringkat awal dan kerana itu sekolah menjadi asas yang terbaik.

Dasar 1Murid 1Sukan juga bertujuan melahirkan generasi yang lebih sihat dan cergas kerana budaya bersenam di kalangan masyarakat sudah menjadi sesuatu yang sukar dilaksanakan atas pelbagai alasan.

Masyarakat Malaysia semakin ramai mengalami masalah kegemukan, dan tentunya obesiti itu boleh mengakibatkan seseorang mudah dijangkiti penyakit yang dikenalpasti sebagai pembunuh utama rakyat, iaitu kencing manis, darah tinggi dan penyakit yang berkitan dengan kardiovaskular.

Dengan menyemaikan budaya bersenam atau bersukan di peringkat sekolah, seseorang pelajar boleh memilih bentuk dan jenis sukan berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing.

Minat itu kemudiannya diharapkan dapat dikembangkan menjadi budaya, dan ini dapat membantu negara mengurangkan bilangan pengidap penyakit yang berkaitan dengan obesity.

Menurut Menteri Pelajaran, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan beliau sudah mengadakan mesyuarat dan memutus akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar itu.

Ketika merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 di Stadium Larkin minggu lalu (18 Mei 2010), Tan Sri Muhyiddin berkata:
"Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan…Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008."
Perubahan ini adalah selaras dengan transformasi pendidikan, dan menurut Menteri Pelajar lagi, sudah sampai masanya kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan.
“Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan. Dengan ini, pandangan mengatakan kementerian terlalu menumpu bidang akademik saja dapat disangkal dan ditangani,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.