Search This Blog

Monday, 17 May 2010

GANJARAN UNTUK GURU

Kementerian Pelajaran Malaysia akan memberikan wang ganjaran kepada semua pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Wang ganjaran sehingga RM 7,500 itu akan dibayar kepada setiap seorang yang berjaya melonjakkan prestasi mulai tahun depan manakala penilaiannya akan dilaksanakan pada tahun ini.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, Gambang pada 16 Mei 2010 dijangka bukan sahaja boleh menjadikan sekolah sebagai institusi pendidikan yang berprestasi tinggi malah menjadikan sektor pendidikan di Malaysia setaraf dengan negara maju.


Malaysia telah meletakkan sistem pendidikan yang bermutu dan berusaha gigih mencapai tahap kecemerlangan pendidikan serantau di samping mengharapkan keluaran dari sistem ini mampu menghasilkan modal insan yang kreatif, inovatif dan dapat menyumbang kepada pembinaan negara.

Hadiah wang ganjaran itu merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik dan menerusi tawaran tersebut, pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai sasaran KPI bagi sekolah masing-masing akanl menerima ganjaran RM7,500 seorang manakala guru-guru di sekolah sama yang berada dalam kumpulan lima peratus ke atas pula akan menerima wang ganjaran sebanyak RM1,800 seorang dan 95 peratus guru berikutnya akan mendapat ganjaran RM900 seorang.

Pemberian ganjaran ini diukur dari segi lonjakan kedudukan sekolah berdasarkan ranking Skor Komposit iaitu 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah. Semua pengetua, guru besar dan guru mungkin menerima wang ganjaran tersebut setiap tahun jika mampu meletakkan sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit yang ditetapkan. Kerana itu, wang ganjaran “bukan dibayar sekali sebaliknya mungkin berkali-kali berdasarkan rekod pencapaian sekolah terbabit."

Dengan azam Guru Pembina Negara Bangsa, Menteri Pelajaran juga mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu. Kenaikan pangkat itu dilaksanakan melalui tiga kaedah, iaitu mengikut tempoh selama 10 tahun, guru cemerlang dan secara hakiki bagi gred DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54.

Ia meliputi semua pegawai yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, pensyarah institut pendidikan guru dan guru manakala Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah pun meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48 dan DG52 bagi PPPS.

Kementerian Pelajaran telah diberikan kelulusan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melaksanakan sendiri urusan urusan kenaikan pangkat secara mengikut tempoh gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPS) . Bagi PPS yang mempunyai kelulusan ijazah doktor falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteris dan syarat yang ditetapkan mulai tahun ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Pelajaran itu mengharapkan bahawa satu sistem pemantauan penempatan yang lebih cekap dan adil perlu diwujudkan bagi mengatasa masalah guru yang bertugas di kawasan pedalaman. Maklumat perkhidmatan mereka perlu dikemaskinikan secara atas talian bagi memastikan mereka turut diberikan peluang untuk bertugas di kawasan bandar.

Kecekapan sistem pemantauan dan kemaskini data itu adalah penting kerana dengan sistem tersebut, “, kita akan dapat menjamin bahawa guru yang ditempatkan di luar bandar tidak disisihkan atau diabaikan."

5 comments:

azimat said...

Tahniah dan syabas kepada sekolah yang berjaya. Didoakan agar matlamat dan kecemerlangan arus pendidikan negara akan menuju kegemilangan.

leia_ilanda said...

Terima kasih Azimat kerana sekolah saya salah sebuah yang mendapat anugerah tersebut...cuma yang menjadi kemusykilan rakan-rakan saya ialah sampai ke hari ini ganjaran yang dijanjikan masih belum diperolehi...Umpama menanti buah yang tak luruh...Sebelum ini pon pernah terjadi kepada kami apabila ganjaran bagi Anugerah Sekolah Cemerlang berkurangan tidak seperti tahun sebelumnya...dan pihak sekolah menggunakan sepenuhnya menaik taraf ruang pejabat sekolah...kami guru-guru hanya mengigit jari...namum kami tetap teruskan usaha yang selama ini mendokong kepada Falsafah Pendidikan Negara...secara jujurnya guru-guru di sekolah saya bertungkus lumus tanpa mengira wang, masa dan tenaga...tetapi bila perkara sebegini berlaku saya merasa amat terkilan dan rasa tertipu...jangan dipolitikkan isu pendidikan..itu saja permintaan saya.

maimunah said...

Bekerja secara pasukan memang agak sukar untuk menilai kualiti dan kuantiti kerja setiap individu. Namun jika individu tersebut dapat mengekalkan kerja yang baik, Insya Allah ganjaran akan muncul jua.

asrulgp said...

Tahniah dan terimakasih kepada KPM kerana berusaha dan berjaya memertabatkan dunia pendidikan Malaysian melalui kenaikan pangkat golongan pendidik.

Namun bagi saya, kenaikan pangkat PK DG44 ke DG48 perlulah dilihat bersama dengan Ketua Bidang (KB) DG44 yang hakiki. Misalnya PK DG44 dilantik pada 2010 dan KB DG44 dilantik pada 2008. Menjelang Januari 2012, PK DG44 (2010) akan berganjak ke DG48 tetapi KB DG44 (2008) kekal. Pengalaman, kometmen dan prestasi setara. Adil dan betulkah situasi ini????????

Saya berpendapat, kenaikan ke DG48 ini haruslah terbuka kepada semua DG44 dengan syarat-syarat tertentu. Misalnya merujuk atau bersandar kepada Tarikh lantik hakiki, lulus PTK, markah purata 3 tahun dan sebagainya.

Adil, saksama dan telus serta bijak.
Sekian terima kasih.

asrulgp said...

PK DG44 yang tidak berjaya memenuhi syarat, kekal DG44 dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh KB yang berjaya ke DG48.

Terima kasih

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.