Search This Blog

Loading...

Thursday, 1 July 2010

SISTEM PENILAIAN HOLISTIK

(Dipetik dari Utusan Malaysia, 1 Julai 2010)

MUHYIDDIN Yassin bersama Azman Hashim (dua dari kanan) menyaksikan Nik Mohamed Nik Yaakob (kanan) dan Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian selepas menandatangani perjanjian persefahaman sempena Majlis Siri Wacana Perdana di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.






Sistem pendidikan di negara ini perlu melalui proses penilaian semula dengan memastikan kaedah pentaksiran terhadap pencapaian para pelajar dibuat secara holistik. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, langkah tersebut bagi membolehkan para guru mengenal pasti potensi sebenar setiap pelajar mereka dan seterusnya mengasah sepenuhnya keupayaan golongan tersebut.

"Dengan berpandukan kepada falsafah pendidikan kebangsaan, kita mesti menilai semula kurikulum dan cara kita membuat penilaian terhadap perkembangan dan pencapaian para pelajar.

"Jika kita gagal mengenal pasti dan mengasah potensi sebenar golongan muda kita, maka negara berhadapan dengan risiko mengalami kegagalan pada masa depan. Kita tidak boleh mengambil risiko itu, jadi kita kena bertindak daripada sekarang," katanya.

Beliau berucap pada program siri wacana perdana bertajuk 'Peranan Pendidikan dalam Pembangunan Kepimpinan' di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKP, Tan Sri Azman Hashim dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YKP dan UiTM iaitu penerusan kepada kerjasama yang terjalin antara kedua-dua institusi itu sejak 2005.

Pada 23 Jun lalu, Muhyiddin berkata, sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin digunakan bagi menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini.

Menerusi sistem itu, katanya, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

Bagaimanapun, kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

Cadangan memansuhkan peperiksaan awam tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak dan pertubuhan yang berharap kerajaan melakukan kajian terperinci berhubung kedudukan peperiksaan awam itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pendidikan merupakan satu proses yang holistik bagi membangunkan potensi sebenar setiap individu.

Ini, kata beliau, melibatkan proses pembelajaran melalui pengalaman seseorang sehingga menjangkau proses normal penyampaian ilmu dan kemahiran selain pembelajaran di bilik-bilik darjah.

"Ini meliputi pembelajaran berasaskan pengalaman dan penjelajahan yang mengayakan pengetahuan pelajar sekali gus membentuk minda yang kreatif dan bukan sekadar apa yang termaktub dalam buku-buku teks," katanya
Justeru, kata beliau, pembelajaran yang berasaskan kreativiti dan inovatif perlu menjadi komponen utama dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, ini bagi mengukuhkan sasaran kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kedua-dua unsur tersebut dalam usaha mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.

"Memandangkan negara perlu segera melahirkan modal insan yang sebenar bagi memacu ekonomi ke satu peringkat yang lebih tinggi, maka kita tidak boleh lagi berpuas hati dengan cara lama.

"Kita perlu bergerak ke hadapan dan mengambil langkah berani bagi melaksanakan reformasi pendidikan demi memastikan ia dapat memenuhi matlamat transformasi ekonomi Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

1 comments:

amran said...

Segala tindakan untuk memansuhkan UPSR dan PMR perlu penelitian yang sedalam-dalamnya. UPSR amat perlu untuk menjadi daya ukur sistem pendidikan kita. Jika UPSR dimansuhkan tiada cabaran dalam sistem pendidkan rendah. Bagaimana untuk mengukur kecemerlangan sesebuah sekolah, di mana timbang taranya. Kemuncak pencapaian peringkat rendah ialah UPSR. Harap tidak menjadi seperti PPSMI. Pemansuhan UPSR dan PMR perlu pandangan dari akar umbi iaitu pendidik sendiri yang terlibat dalam proses ini bukan setakat wakil-wakil kesatuan sahaja.

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.