KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH ASEAN KEDUA

Malaysia meletakkan sasaran sejumlah 50 pingat emas mampu diraih oleh atlet negara dalam Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean  (ASG) ke-2 yang akan berlangsung pada 12 hingga 21 Julai nanti di Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Ir. Wee Ka Siong setiap atlet yang dipilih mengambil bahagian merupakan yang terbaik dan kita sandarkan harapan untuk mendapatkan pingat emas.

"KPM bertambah yakin dengan kemampuan atlet kali ini kerana sebilangan besar atlet yang mewakili ASG ini terdiri daripada wakil negeri ke SUKMA yang baru sahaja selesai diadakan, " tambahnya lagi, " kalau kita menanamkan semangat untuk menjadi juara pada setiap kejohanan berlangsung, saya yakin dan percaya, kalau tidak pada tahun ini kita menjadi juara, Malaysia akan menjadi juara pada tahun-tahun berikutnya."

Harapan itu disampaikan oleh beliau dalam satu majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia yang akan menyertai ASG ke-2 di Dewan Olimpik Sekolah Sukan Bukit Jalil petang semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Alimudin Mohd. Dom; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dato' Asariah Mior Shaharudin; Penasihat Sukan KPM, Datuk Wira Mazlan Ahmad; Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Dato' Sieh Koh Chi, Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kurikulum KPM, Puan Ee Hong dan Ketua Kontinjen Malaysia, Puan Marina Chin.

Dijangka seramai 964 atlet  dari tujuh buah negara Asean akan mengambil bahagian dalam ASG ke-2 kali ini manakala Universiti Kebangsaan Malaysia dijadikan sebagai perkampungan sukan sepanjang temasya ini berlangsung.

Dalam kejohanan ASG pada tahun lepas, Malaysia tidak mengambil bahagian kerana penularan wabak H1N1 di mana peserta tuanrumah, Thailand menjadi johan keseluruhan dengan pencapaian 70 pingat emas diikuti Vietnam (18) dan Indonesia (13). Temasya kali pertama itu disertai oleh lima buah negara termasuk Singapura dan Brunei.

Bagi kejohanan ASG ke-2 sejumlah 309 meliputi 11 jenis sukan yang dipertandingkan. Antaranya hoki, bola jaring, sepak takraw, bola keranjang, bola tampar, golf, badminton, gimnastik, gimrama, renang dan olahraga.




Comments