Search This Blog

Thursday, 30 December 2010

MALAYSIA MENANG, KPM IKUT BERBANGGA

Menangnya pasukan bolasepak Malaysia dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia bukan sahaja melenyapkan kemarau Piala AFF Suzuki dalam tempoh 14 tahun, ia turut mengharumkan KPM kerana 9 dari 11 pemain utama yang beraksi sebelum pertukaran pemain adalah produk dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.


Penjaring gol terbanyak misalnya, Sabree Sali merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat dan lima ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Dalam pusingan pertama yang memberikan kemenangan 3-0 pada 26 Disember lalu, Norsharul Idlan Talaha yang bertindak baik dan lincah juga merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil. Kemenangan Malaysia benar-benar membawa erti kepada Norsharul kerana selepas melangsungkan perkahwinannya beliau tidak sempat berbulan madu terus menyarung jersi Harimau Malaya untuk mematahkan sayap Garuda.

Penjaga gol kebangsaan yang bertindak cemerlang dan tepat membaca gerakan sepakan penalti dari Firman Atina sehingga menyebabkan penyokong dan seluruh rakyat Indonesia kecewa. Ketangkasan Khairul Fahmi meangkap bola, walaupun termuntah sehingga menyebabkan Indonesia menjaringkan gol pada minit 72 melalui rembatan Mohd Nasuha.

Khairul Fahmi juga merupakan produk dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. Berdasarkan tilikan senarai nama barisan pemain seramai 18 orang, seramai 13 pemain adalah  merupakan hasil latihan dan didikan yang mereka terima di Sekolah Sukan kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Setakat ini KPM mempunyai dua buah sekolah sukan, iaitu Sekolah Sukan Bandar Penawar dan Sekolah Sukan Bukit Jalil. Sebuah lagi sekolah sukan yang bakal beroperasi dalam tempoh terdekat ialah Sekolah Sukan Pahang yang dalam proses pembinaan.

Hasil latihan dan pendidikan yang diterima melalui sekolah sukan, jelas membuktikan negara tidak lagi boleh dianggap ketandusan pemain pelapis. Kalau dilihat dari aspek penyertaan atlet Malaysia ke sukan Asia misalnya, sebahagian besar adalah pelajar dan bekas pelajar sekolah sukan. Ini bermakna, potensi melahirkan atlet sukan dalam pelbagai bidang semakin menyerlah melalui pembinaan sekolah-sekolah sukan.

Syabas kepada pasukan Malaysia, dan tahniah ke atas semua pembimbing yang telah memartabatkan kembali sukan bolasepak tanah air yang mengalami kemarau kemenangan yang panjang. Seluruh rakyat Malaysia yang sabar menonton dan memberikan sokongan juga menjadi pembakar semangat pasukan bolasepak kebangsaan untuk meraih kejayaan apatah lagi memusnahkan harapan Indonesia yang sudah empat kali berada dalam pertandingan akhir, tetapi belum mampu menjadi juara Piala AFFSuzuki.

Sejak 14 tahun piala ini diperkenalkan, tahun ini merupakan kali kedua Malaysia memasuki peringkat akhir. Kali pertama ialah pada tahun 1996, tetapi tewas kepada Thailand di Singapura. Malaysia menjadi negara keempat yang memenangi pertandingan ini setelah Thailand, Singapura dan Vietnam.

Kemenangan pada tahun ini merupakan kemenangan pertama Malaysia memenangi sebarang pertandingan bolasepak peringkat regional (kecuali dalam SEA Games) dalam tempoh dua puluh tahun. Maka  kemenangan ini benar-benar membangkitkan kembali maruah bolasepak negara, dan kerana itulah agaknya Perdana Menteri memberikan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, 31 Disember 2010 adalah cuti umum. Terima kasih dan syabas.



MALAYSIA BOLEH!!!!!

SEKOLAH SUKAN BOLEH

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.