Search This Blog

Tuesday, 15 March 2011

PELAJAR MESTI TAHU KENANG BUDI



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar para pelajar menjadi seorang insan yang tahu mengenang budi dan menghargai jasa.
Menurut beliau, “sewajarnya budi dan jasa dihargai dengan cara mengamalkan apa yang telah dipelajari, apa yang baik dijadikan panduan, ikutan dan teladan dan sekiranya terdapat jua rasa terkilan, lebih baik ketepikan.”
Tan Sri Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan program Keluarga Angkat 1Malaysia yang diadakan pada 15 Mac 2011 di Putrajaya.
Program Keluarga Angkat 1Malaysia (KIAM) merupakan program pertama seumpamanya yang melibatkan seramai 120 orang pelajar tingkatan lima dari seluruh negara dipilih menjadi anak angkat kepada 60 orang pegawai kanan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Setiap keluarga angkat diberikan dua orang pelajar sebagai “anak angkat” dan mereka didedahkan dengan kehidupan sebenar keluarga angkat mereka yang terlibat dalam pelbagai aspek pengurusan pendidikan di Malaysia selama lima hari empat malam.
Program ini dilancarkan pada 10 Mac 2011 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ghafar Mahmud dengan menyerahkan “anak angkat” kepada “keluarga angkat” manakala dalam majlis penutupan “keluarga angkat” menyerahkan kembali “anak angkat” kepada keluarga asal atau guru pengiring mereka.
Sepanjang berada dengan keluarga angkat, para pelajar dikehendaki mempelajari nilai-nilai kehidupan dalam keluarga yang berlainan keturunan, ataupun subbudaya supaya mereka lebih memahami mengenai budaya baru yang bakal mereka fahami makna yang hendak dipupuk melalui gagasan 1Malaysia.
Menurut Tan Sri Muhyiddin lagi, “Kita sekalian amat beruntung kerana berada dalam negara yang sudah merdeka. Sehingga ke hari ini, Alhamdullillah Malaysia masih lagi aman, ekonomi stabil dan perpaduan terus mantap berkat kesepaduan, keutuhan serta jati diri yang tinggi dalam kalangan rakyat negara ini.

“Maka, kita semua perlu mempertahankan kejayaan yang telah kita miliki dengan bersatu padu dan berusaha untuk memelihara kemakmuran negara. Saya tidak mahu melihat pelajar hari ini lemah, mundur dan terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak sihat yang boleh menghancurkan diri sendiri dan masa hadapan negara.
“kita mahu pelajar hari ini, gigih berusaha dalam pencarian ilmu kerana mereka yang berilmu dan berakhlak mulia sahaja seharusnya menerajui negara pada masa akan datang,” jelas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran.
Sepanjang bersama keluarga angkat, para pelajar turut diminta untuk menulis esei dan melengkapkan buku log. Kesemuanya itu merupakan dokumen yang menggambarkan kesan dan pendidikan yang diperoleh sepanjang mengikuti program yang bakal menjadi panduan, iktibar dan galakan dalam menentukan masa depan mereka sendiri.


Tan Sri Muhyiddin turut mengharapkan agar program seumpamanya akan menjadi acara tahunan dan dilaksanakan dalam konteks yang lebih luas lagi.

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.