Search This Blog

Monday, 16 May 2011

KETUA MENTERI RAIKAN GURU DI MAJLIS BERAMBIH SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU


Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri meraikan lebih 5,000 orang guru dalam Majlis Berambih sempena sambutan perayaan hari guru peringkat kebangsaan ke-40 yang diadakan di Borneo Convention Center, Kuching, Sarawak pada malam 15 Mei 2011.

Dalam ucapan sempena majlis tersebut, Pehin Seri Haji Taib Mahmud mengucapkan ribuan terima kasih ke atas pengorbanan guru yang sanggup bertugas di kawasan pedalaman bagi mendidik rakyat negeri Sarawak.
Pendidikan merupakan bidang yang amat diperlukan bagi memajukan Sarawak dan pada tahun 2030 telah menjadi sasaran untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat pembangunan tenaga yang boleh diperbaharui sebagaimana disasarkan.

Sarawak mempunyai kawasan yang luas dan ini merupakan cabaran utama kerana sebahagian besar sekolah-sekolah yang terdapat di kawasan pendalaman sukar dihubungi berbanding dengan lain-lain kawasan di Semenanjung.

Pengorbanan para guru yang dihantar bertugas ke Sarawak, menurut Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud pada mulanya mengalami pelbagai kesukaran tetapi disebabkan kemesraan layanan penduduk tempatan ada guru-guru terbabit terasa amat sukar untuk meninggalkan negeri ini.

Mereka mula menyayangi keramahan penduduk tempatan dan budaya ini telah menyebabkan Sarawak menarik minat ramai pelawat.

Turut hadir dalam majlis berambih ialah dua orang Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong, Dr Puad Zarkhashi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimudin Mohd Dom merangkap Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sempena majlis tersebut, Ketua Menteri turut melancarkan beberapa buah buku yang ditulis oleh warga pendidikan dalam pelbagai perspektif manakala Ketua Pengarah Pelajaran menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam pelbagai pertandingan yang diadakan sepanjang sambutan Hari Guru .

Dalam pertandingan bahas guru, pasukan dari negeri Johor telah memenangi Pertandingan Bahas Dalam Bahasa Inggeris manakala pasukan dari Sarawak menang dalam Pertandingan Bahas Dalam Bahasa Malaysia.

Lain-lain penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran antaranya guru inovasi, pemenang penulisan cerpen, penulisan cerita kanak-kanak, pertandingan menulis esei dan penciptaan lagu tema perayaan Hari Guru.

Turut dipersembahkan dalam Majlis Berambih ialah nyanyian dari warga pendidikan, tarian oleh pelajar sekolah manakala keseluruhan persembahan pentas diiringi oleh Orkestra Pendidikan Sarawak yang dianggotai oleh 84 peserta iaitu 16 orang guru dan selebihnya adalah pelajar.

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.