SISTEM PENDIDIKAN LAHIRKAN KETIDAKSEIMBANGAN GENDER

DISEBABKAN sistem pendidikan di Malaysia lebih mengutamakan kecemerlangan akademik akhirnya telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan gender di universiI dan dalam struktur pekerjaan.

Bilangan pelajar di universiti awam dan swasta turut dikuasai oleh 70 peratus wanita dan ini merupakan hasil dari cara kita mendidik para pelajar yang mementingkan pencapaian pengetahuan berbanding keperluan sebenar pendidikan sebagai memenuhi tuntutan hidup yang dapat menguasai ilmu.

Faktor gender telah memberikan kelebihan semula jadi kepada wanita kerana menurut kajian kadar ingatan mereka adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Disebabkan bentuk sistem pendidikan yang mementingkan ingatan, yakni melontarkan kembali apa yang diajar di sekolah, maka lelaki didapati kurang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang bersifat demikian.

Menurut Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce, pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak bagi mengatasi ketidakseimbangan tersebut kita perlu keluar dari bentuk sistem pendidikan yang bersifat punitif.

“Dalam sistem pendidikan yang berorientasikan punitive, mereka yang cemerlang dalam peperiksaan mendapat hampir kesemua peluang manakala mereka yang kurang cemerlang akan ketinggalan. Keadaan itu sepatutnya diubah untuk membolehkan mereka yang lambat memahami proses menerima pengetahuan mendapat peluang kedua atau ketiga sebagaimana diinginkan oleh pendemokrasian pendidikan,” jelas Dr Shahren dalam forum sempena Sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Kuching, Sarawak pada 15 Mei 2011.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Dr Jeniri Amir, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Unimas manakala tiga lagi ahli panel ialah Dato’ Devamany, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Prof Madya Dr Fatimah Haji Bujang, Pensyarah Fakulti Perakaunan, Universiti teknologi MARA kampus Kota Samarahan, Sarawak dan Awangku Merali Pengiran Mohamad, dari Jabatan Pelajaran Sarawak.

Menurut Dr Shahren lagi, mereka yang gagal dalam pendidikan turut menyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat kerana menganggap dirinya tidak dapat menyumbang dan mengalami masalah dalam penerimaan masyarakat.

“Dengan cara ini, sistem pendidikan turut menyumbang kepada peningkatan jenayah di mana mereka tidak diberi peluang untuk memperbaiki pencapaian diri dalam sistem pendidikan. Kerana itu kita memerlukan satu bentuk sistem pendidikan yang lebih toleran dan turut menyediakan peluang untuk untuk membaiki kelemahan,” jelas Dr Shahren.

Dr Fatimah dan Dato’ Devamany  turut melihat kepada perubahan dalam diri seseorang itu sebagai asas yang penting bagi membangunkan modal insane kerana “tidak ada guru yang besara”. Guru akan tetap diingati dan dipanggil guru walaupun dari segi umurnya telah bersara.

Bagi membolehkan seseorang guru melakukan tranformasi, menurut Dato Devamany yang juga bekas seorang guru lebih cenderung melihat kepada perubahan dalam diri sendiri terlebih dan “tidak terlalu memberikan fiokus kepada faktor luaran. Bagi guru, tanggungjawab utamanya ialah memastikan setiap pelajar dapat belajar dengan berkesan sehingga mereka boleh menjadi seorang yang cemerlang.”

Para guru turut diseur agar dapat menghapuskan “budaya ketepuan anjakan” kerana persekitaran dunia telah berubah atas pelbagai faktor termasuk globalisasi. Kerajaan telah merangka pelan transformasi dengan hasrat untuk meningkatkan kedudukan pendapatan rakyat untuk muncul sebagai negara berpendapat tinggi menjelang tahun 2020.

Pendapat tersebut disokong oleh Dr Fatimah yang menganggap bahawa setiap daripada rakyat perlu bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu agar tidak mewujudkan suasana “mati sebelum ajal”, iaitu tidak ingin berubah. Perubahan, meskipun tidak mahu dilaksanakan, ia akan tetap berlaku dan dalam situasi itu jika kita tidak berusaha untuk melakukannya, kita bolehlah diibaratkan sebagai telah mati dalam perjuangan.

Dr Fatimah turut melihat bahawa “perubahan itu mesti bermula dalam diri kita sendiri” kerana dalam fitrah pendidikan, hasil yang lebih dipentingkan ialah murid dan kerana itulah “murid mestilah lebih pandai daripada guru.”

Jika pada akhirnya guru lebih pandai daripada murid, guru itu sebenarnya tidak berupaya melaksanakan transformasi pendidikan untuk membentok modal insan yang amat diperlukan oleh negara bagi mencapai tahap negara maju.

“Persoalan yang kita hadapi sekarang ialah masalah sosial dan dalam melihat perkara ini kita tidak seharusnya cuba mencari siapakah yang patut dipersalahkan. Kita seharusnya mencari jalan bagaimana untuk membendungnya, kerana guru mempunyai input dan output yang penting,” jelas Dr Fatimah.

Bagi Awangku Merali, persoalan gender bukanlah perkara yang bakal menyebabkan berlakunya masalah dalam masyarakat kerana memang antara lelaki dan wanita telah dilahirkan secara semulajadinya berbeza. Wanita mempunyai bentuk fizikal, misalnya keadaan punggung adalah lebih besar daripada lelaki. Lelaki pula mempunyai bentuk bahu yang lebih lebar berbanding wanita.

“Perbezaan ini memberikan kita pemahaman bahawa wanita mempunyai kesanggupan untuk duduk lebih lama berbanding dengan lelaki. Lelaki pula mempunyai semangat mengembara (explorer) yang lebih besar berbanding lelaki. Maka ini bermakna proses pembelajaran antara lelaki dan wanita sudah menunjukkan keperluan yang berbeza.

“Disebabkan sistem pendidikan lebih mementingkan kandungan pengetahuan, makin banyak diperoleh makin dilihat cemerlang, ia akan menyebabkan lelaki kurang berjaya berbanding lelaki,” tambah Awangku Merali, seorang pendidik.

Walau apa pun, “kedudukan wanita mengatasi lelaki bukanlah sesuatu yang harus dilihat sebagaj satu masalah. Ia merupakan kejayaan bersama kerana kita telah memberikan peluang yang sama kepada wanita selaras dengan perubahan semasa.

“Sistem pendidikan kita sebelumnya tidak memberikan ruang yang meluas kepada wanita maka itulah menyebabkan ramai lelaki bersekolah dan akhirnya menguasai bidang pekerjaan. Keadaan kini telah berubah kerana sudah ada satu gerakan untuk meningkatkan kedudukan wanita dalam sektor pengurusan dan pembuatan keputusan sehingga ke tahap 30 peratus di Malaysia sebagaimana yang dipersetujui oleh kerajaan,” jelas Awangku Merali.

Bagi Dr Fatimah, lelaki dan wanita sebenarnya sama-sama penting kerana dalam masyarakat Islam yang lebih dipentingkan kehidupan yang sejahtera sebagai pasangan. Ini bererti, lelaki juga perlu dididik supaya mencapai tahap kecemerlangan kerana wanita turut memerlukan pasangan yang seimbang.

Bagi Dr Shahren, walaupun lelaki dan wanita sesama diperlukan sebagai modal insan yang cemerlang, di sisi Islam yang lebih penting ialah tahap ketakwaan. Maka di sinilah masalah yang harus difahami oleh guru-guru untuk melakukan tranformasi kerana mereka yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan tidak bermakna mereka tidak cemerlang, mereka boleh memberikan sumbangan yang besar jika mereka terus diberikan peluang untuk ikut sama dalam proses pembelajaran yang lebih terbuka dan toleran.

Forum yang bertajuk “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” itu sepakat bersetuju bahawa gurulah yang berupaya menggerakkan tranformasi pendidikan. Tanpa guru, agenda tranformasi yang baik dan menarik tidak akan mecapai kejayaan sebagaimana yang diharapkan oleh Kerajaan. Dan, dalam melaksanakan perubahan tersebut, guru terlebih dahulu mentranformasikan dirinya terlebih dahulu agar terus dilihat relevan dan berkesan.

Awangku Merali memberikan saranan terbaik untuk guru supaya menggunakan pengetahuan dan pengalaman lampau untuk mendokong sesuatu yang baru, kerana itulah guru mesti melihat keberkesanan kaedah pedagogi yang ada dalam diri sendiri. Orang lain mungkin boleh mengambil alih tanggungjawab yang lain, tetapi tidak boleh mengambil  alih aspek pedagogi. Kemahiran pedagogi mestilah diresapi dengan jiwa pendidik yang tinggi, maka dengan itu guru akan terus dapat menyumbangkan peranannya sebagai “penjana transformasi pendidikan negara.”

SELAMAT HARI GURU




Comments

  1. Sistem pendidikan di Malaysia memementingkan daya penghafalan semata-mata khususnya bagi subjek teras seperti sejarah .Orang yang menghafal tidak semestinya memahami apa yang dihafalnya. Kaedah sistem prndidikan negara sekarang agak kurang memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir bebas dan kehadapan serta dinamik. Kajian pembangunan dan penyelidikan akan sukar dilaksanakan sekiranya sejak dari awal masyarakat hanya didedahkan dengan teknik penghafalan.RND khsusunya memerlukan pemahaman secara kritikal dan bukannya penghafalan. Justeru itu kita dapat lihat sekarang bahawa sukar untuk negara kita melahirkan masyarakat yang intektual tinggi kerana sistem pendidikan sekarang kurang memberi peluang kepada pelajar untuk mengelurkan kebolehan pelbagai meraka dari awal. dapat juga dilihat kini,ramai dalam kalangan pelajar-pelajar cemerlang kita yang begitu "gah" dengan pencapaiaan akademiknya tetapi malangnya "tandus" dengan ilmu yang sepetutnya mereka miliki untuk berhadapan dengan dunia global yang kina mencabar.
    "MINDA HARUS DICABAR,KEMAMPUAN DAN KEBOLEHAN HARUS DIGALI" mungkin inilah yang seharusnya ada pada sistem pendidikan Malaysia. Jangan sia-sia kan semnagat MALAYSIA BOLEH kita hanya sistem pendidikan .

    ReplyDelete
  2. PENUKARAN SESI AKADEMIK UNIVERSITI MALAYSIA

    Penukaran sesi antarasesi baru yang yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini merupakan satu isu baru bagi segelintir masyarakat khususnya para pelajar universiti Malaysia. Mungkin tidak dapat disangkal bahawa penukaran sesi ini akan membawa arena pendidikan kita kepada deminsi baru iaitu dapat menggalakkan penukaran bidang ilmu yang lebih dinamik dan berkesan ,namun apabila difikirkan impaknya kepada pelajar-pelajar kita sendiri wujud jua beberapa kesan negatif antaranya ialah para pelajar yang mempunyai status kewangan yang agak kurang memihak tidak dapat mengambil sesi Antarasesi ini kerana tempohnya telah dipanjangkan dari tempoh 2 bulan kepada tempoh hampir 4 bulan. Justeru dapat dilihat bahawa hanya sebilangan pelajar yang benar-benar berkemampuan sahaja akan mengambil sesi ini dan ada diantara mereka terpaksa mengambil sesi ini kerana mengelakkan lewat bergraduat.

    Budaya ilmu yang cuba ditengahkan oleh KPM adalah amat wajar untuk menggalakkan pertukaran ilmu yang lebih bersifat Universal namun masih perlu diingat bahawa pelajar-pelajar kita masih "kurang" dari pelbagai aspek untuk dibebaskan dalam arena baru demensi pendidikan ini.Justeru itu,seharusnya para pelajar kita disediakan terlebih dahulu dengan ilmu yang pelbagai untuk bersaingan di pentas global pendidikan supaya mereka tidak dilihat begitu "kecil" berbanding apabila digabungkan dengan pelajar luar yang kemungkinan lebih baik daripada kita dan juga timbangkan apa yang terbaik yang kita ada untuk dijadikan taruhan terbaik apabila berhadapan dengan dunia luar. Sediakan dahulu pelajar kita dengan segala ilmu yang mencukupi sebelum dibebaskan dipentas sebenar dunia pendidikan. Pelajar yang lemah dalam bidang ilmu juga harus tidak dipinggirkan atas alasan lemahnya mereka namun sentiasa kita beri peluang kepada mereka untuk terus maju dan bebas kehadapan.

    blog bahas isu dan ilmu (intectualmind.blogsport.com)

    ReplyDelete
  3. Masalah sudah diketahui, apa tindakan?

    ReplyDelete

Post a Comment