Karnival Sekolah Kluster

Lebih seribu tujuh ratus orang pelajar dan guru dari 17 buah Sekolah Kluster Kecemerlangan telah menyertai Karnival SKK Zon Utara yang diadakan pada pertengahan Julai lalu.

Karnival tersebut telah diadakan pada 15 hingga 17 Julai 2011 di SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang.

Majlis penutupan karnival tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato' Abdul Ghafar Mahmud.

Setiap buah sekolah menghantar penyertaan seramai  24 orang, iaitu 20 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring.

Kesemua 17 buah sekolah yang mengambil bahagian ialah SKK dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Karnival ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah. 

Sepanjang karnival itu berlangsung, beberapa maklumat mengenai pencapaian SKK dalam bidang akademik dan kokurikulum dilaporkan bagi membolehkan antara mereka berkongsi pengalaman dan pengetahun untuk  melonjakkan pencapaian pada masa depan. Turut diadakan ialah persembahan kebitaraan kebudayaan dan pertandingan kiosk terbaik.

Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) sengaja diwujudkan oleh kerajaan sebagai usaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.  SKK ialah sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya yang dapat melahirkan murid yang holistik dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah serta penampilan diri.

SKK juga mempunyai kebitaraaan (niche area) yang dapat mewatakkan sekolah. Sebagai SKK, sekolah perlu membangunkan sekurang-kurangnya satu kebitaraan akademik dan satu kebitaraan kokurikulum untuk menjadi watak sekolah dan melonjakkan kebitaraan tersebut sehingga berjaya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Karnival SKK diadakan bertujuan untuk memperkenalkan SKK dan mempamerkan pencapaian kebitaraan sekolah kepada umum. SKK diberi peruntukan khas kewangan dan autonomi secara terpimpin untuk membolehkan SKK beroperasi secara optimum bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah. Melalui karnival ini sekolah dapat menunjukkan kejayaan yang dicapai dalam kebitaraan akademik dan kokurikulum hasil daripada wang peruntukan khas kluster tersebut.

Turut serta dalam persembahan kebudayaan pada malam itu ialah para pelajar dari Pittmandayai School 2 daru Thailand. Sekolah tersebut bukan sahaja menjadi tetamu malah menjalinkan kerjasama pendidikan dengan SKK Zon Utara.

Bagi pertandingan kiosk terbaik, tempat pertama dimenangi oleh SMJK Sin Min, kedua jatuh kepada SMK Sik dan ketiga pula SK St. Anne’s Convent.

Karnival Sekolah Kluster Kecemerlangan itu turut memberikan pendedahan kepada masyarakat umum mengenai pencapaian yang dapat dilaksanakan oleh SKK, dan dengan itu masyarakat akan lebih memahami tujuan sebenar SKK diwujudkan.

Karnival ini turut dapat menangkis persepsi negatif masyarakat mengenai SKK yang dilihat kecemerlangannya amat dipengaruhi oleh lokasi dan jenis sekolah. Kecemerlangan tiada batasan fizikal dan SKK sedang berusaha melonjakkan kedudukannya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada masa akan datang.

Comments