Search This Blog

Loading...

Thursday, 22 December 2011

Analisis Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011


Analisis keputusan PMR dilaporkan berdasarkan Pencapaian Calon dan Prestasi Mata Pelajaran. Pelaporan Pencapaian Calon adalah merujuk kepada sejauh mana calon menguasai pembelajaran di sekolah menengah rendah dalam kesemua mata pelajaran yang diuji.

Indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara ialah Gred Purata Nasional (GPN). Prestasi Mata Pelajaran pula merujuk kepada sejauh mana calon menguasai pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam setiap mata pelajaran yang diuji. Indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran ialah Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi setiap mata pelajaran. Nilai gred purata yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Pendidikan di peringkat menengah rendah merupakan kesinambungan pendidikan dari peringkat rendah ke peringkat menengah atas untuk menyediakan peluang pendidikan yang seluas-luas dan seadil-adilnya. Pendidikan ini bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Maklumat pencapaian akademik calon bukan sahaja menunjukkan tahap penguasaan calon dalam mata pelajaran tertentu malah dapat membantu mereka membuat pilihan jurusan yang sesuai dengan minat dan potensi mereka di peringkat menengah atas. Pelbagai jurusan ditawarkan di peringkat menengah atas seperti kemanusiaan, agama, sains, teknikal dan vokasional.

Pada tahun ini, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki PMR bertambah sebanyak 0.1% berbanding tahun 2010 dan perinciannya ditunjukkan dalam Jadual 1. PMR telah dilaksanakan dalam dua bentuk, iaitu peperiksaan pusat dan pentaksiran berasaskan sekolah. Peperiksaan pusat telah dilaksanakan pada 4 hingga 11 Oktober 2011. Untuk mentadbir peperiksaan ini, sejumlah 3,521 pusat peperiksaan telah disediakan yang melibatkan 35,190 orang petugas peperiksaan.  Seramai 11,603 orang pemeriksa telah dipertanggungjawabkan untuk memeriksa skrip jawapan calon.

Jadual 1: Calon yang Mendaftar PMR 2011


Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata.  Jadual 2 menunjukkan pencapaian keseluruhan calon PMR dari 2008 hingga 2011.
Jadual 2: Pencapaian Keseluruhan Calon PMR dari 2008 hingga 2011


Pencapaian calon cemerlang iaitu calon yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 3,408 orang (0.75%) iaitu daripada 30,863 orang (7.02%) pada tahun 2010 kepada 34,271 orang (7.77%) pada 2011. Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 (0.09%) orang pada tahun 2010 kepada 346 (0.08%) orang pada tahun 2011.

Pencapaian Calon Bandar dan Luar Bandar

Pencapaian calon bandar dan luar bandar pada keseluruhannya semakin baik. Data dalam Jadual 3 memberi perincian pencapaian calon bandar berbanding calon luar bandar.

Jadual 3: Pencapaian Calon Bandar dan Luar Bandar

Pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat diukur dari segi nilai GPN, pencapaian semua A dan pencapaian melepasi tahap penguasaan minimum. Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak  0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar.

Pencapaian Calon Berkeperluan Khas

Calon berkeperluan khas juga mendapat peluang yang sama dengan calon-calon yang lain untuk menduduki peperiksaan. Pada keseluruhannya, pencapaian calon berkeperluan khas pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas (Rujuk Jadual 4).

Jadual 4: Pencapaian Keseluruhan Calon Berkeperluan Khas
                     Tahun 2011 Berbanding Tahun 2010
   

Daripada Jadual 4, bilangan calon berkeperluan khas yang menduduki PMR pada tahun ini berkurang seramai 35 orang. Pencapaian calon cemerlang (semua A) meningkat kepada 12 orang berbanding 5 orang pada tahun 2010, manakala calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (semua D) tahun ini juga meningkat dari segi bilangan dan peratusan. Ini digambarkan pada nilai GPN sebanyak 4.10 mata berbanding 4.19 pada tahun 2010.

Prestasi Mata Pelajaran

Pada keseluruhannya, kebanyakan mata pelajaran yang ditawarkan dalam PMR 2011 menunjukkan prestasi yang stabil.  Semua mata pelajaran menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam. Prestasi setiap mata pelajaran boleh dirujuk pada Lampiran A.

Jadual 5: Analisis Prestasi dan Gred Purata Bahasa Melayu bagi Tahun 2010 dan 2011


Jadual 5 menunjukkan analisis prestasi dan GPMP Bahasa Melayu bagi tahun 2010 dan 2011. Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi gred A menunjukkan penurunan sebanyak 1.3% dari 27.6% pada 2010 kepada 26.3% pada 2011. Walau bagaimanapun, peratusan  calon yang mendapat gred B, C dan D meningkat sebanyak 1.2% dari 66.5% pada tahun 2010 kepada 67.7% pada tahun 2011. GPMP Bahasa Melayu juga menunjukkan penurunan dengan pertambahan 0.02 mata.

Jadual 6: Analisis Prestasi dan Gred Purata Bahasa Inggeris bagi Tahun 2010 dan 2011


Jadual 6 menunjukkan analisis prestasi dan GPMP Bahasa Inggeris bagi tahun 2010 dan 2011. Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi gred A menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8% dari 17.6% pada 2010 kepada 18.4% pada 2011. Walau bagaimanapun, peratusan calon yang tidak melepasi tahap penguasaan minimum masih tinggi iaitu 21.3% pada tahun 2011. GPMP Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan dengan penurunan 0.05 mata.

Jadual 7: Analisis Prestasi dan Gred Purata Mathematics bagi Tahun 2010 dan 2011


Jadual 7 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata mata pelajaran (GPMP) Mathematics bagi tahun 2010 dan 2011. Prestasi mata pelajaran Mathematics bagi gred A menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3% dari 28.9% pada 2010 kepada 30.2% pada 2011. GPMP Mathematics menunjukkan peningkatan dengan penurunan 0.04 mata.

Jadual 8:       Analisis Prestasi dan Gred Purata Science bagi Tahun 2010 dan 2011


Jadual 8 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata mata pelajaran (GPMP) Science bagi tahun 2010 dan 2011. Prestasi mata pelajaran Science bagi gred A menunjukkan peningkatan sebanyak 4.0% dari 21.7% pada 2010 kepada 25.7% pada 2011. Walau bagaimanapun peratus calon yang tidak melepasi pencapaian minimum meningkat sebanyak 0.6% iaitu 5.7% pada tahun 2010 kepada 6.3% pada tahun 2011. GPMP Science menunjukkan peningkatan dengan penurunan 0.09 mata.

Jadual 9:       Analisis Prestasi dan Gred Purata Sejarah bagi Tahun 2010 dan 2011


Jadual 9 menunjukkan analisis prestasi dan GPMP Sejarah bagi tahun 2010 dan 2011. Prestasi mata pelajaran Sejarah bagi gred A menunjukkan penurunan sebanyak 0.9% dari 21.3% pada 2010 kepada 20.4% pada 2011. Walau bagaimanapun peratus calon yang tidak melepasi pencapaian minimum menurun sebanyak 2.6% iaitu 7.3% pada tahun 2010 kepada 4.7% pada tahun 2011. Ini  menunjukkan peratusan calon yang menguasai tahap minimum Sejarah telah meningkat. GPMP Sejarah menunjukkan peningkatan dengan penurunan 0.05 mata.

Pendidikan Kesenian

Tahun ini merupakan tahun ketiga Kementerian Pelajaran menawarkan mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam peperiksaan PMR. Sebanyak empat bidang kesenian iaitu Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual dipelajari oleh calon di Sekolah Seni Johor Bahru, Johor dan Sekolah Seni Kuching, Sarawak. Pencapaian keempat-empat bidang kesenian tersebut telah ditaksir oleh guru masing-masing dan pentaksir luar yang terdiri daripada tenaga pengajar dari Aswara, Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Pencapaian calon ditaksir berdasarkan standard prestasi dengan empat band daripada Band 1 (terendah) hingga Band 4 (tertinggi).

Jadual 10: Prestasi Mata Pelajaran Pendidikan Kesenian

Jadual 10 di atas menunjukkan pencapaian dalam semua bidang kesenian yang ditaksir. Bidang Seni Visual menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan bilangan calon memperoleh Band 4, diikuti Tari, Teater dan Muzik. Pencapaian yang ditunjukkan oleh calon tersebut sangat baik dan bakat mereka boleh terus digilap semasa di Tingkatan Empat sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Tingkatan Lima dalam enam bidang kesenian yang lebih khusus iaitu Seni Halus, Komunikasi Visual, Rekabentuk, Seni Muzik, Seni Tari dan Seni Teater.

Calon-calon Sekolah Seni Malaysia yang menduduki PMR akan menerima Slip Keputusan dan juga Sijil Pendidikan Kesenian yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Sijil ini mempunyai nilai tambah kepada keputusan PMR dan boleh digunakan untuk tujuan melanjutkan pelajaran yang berkaitan dengan bidang seni.

(Dipetik dari Pengumuman Analisis Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Sri Abd Ghafar Mahmud pada 22 Disember 2011).








0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.