Search This Blog

Tuesday, 6 March 2012

Anugerah Sukan MSSM-MILO


Ian James Barr dari SMK (L) Methodist Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur dan Farah Ann Abdul Hadi dari Sekolah Sukan Bukit Jalil masing-masing telah dipilih sebagai penerima anugerah putera dan puteri dalam satu majlis yang diadakan di Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah pada 1 Mac 2012.


Ian James Barr dipilih berdasarkan pencapaiannya dalam beberapa pertandingan sukan renang sama ada di peringkat serantau, kebangsaan dan antarabangsa. Dalam Temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-3 di Singapura, Ian telah mencipta rekod baharu dalam acara 200 m medley individu manakala dalam Kejohanan Akuatik MSSM beliau menang 8 pingat emas di mana tujuh adalah rekod baharu.


Pemilihan Farrah Ann pula berdasarkan pencapaiannya dalam Gimnastik Artistik di mana Johan (berpasukan) dan mendapat dua pingat perak dalam acara Uneven Bar dan Floor Exercise dalam Temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-3 di Singapura. Di peringkat MSSM, Farrah menang empat pingat emas dan dua pingat perak.

Dalam kejohanan Gimnastik Kebangsaan, Farrah memperoleh enam pingat emas dan semasa mengambil bahagian dalam Sukan SEA di Indonesia, menang pingat perak dalam acara Uneven Bar.

Anugerah Tunas harapan putera pula diberikan kepada Muhamad Sirafuddin Munawir dari SMK Junjong Kedah dan Sivasubramaniam a/p Subramaniam dari SMK Sultanah Asma, Alor Stera dipilih menerima anugerah khas puteri.

Anugerah Khas MSSM-MILO (putera)  turut dimenangi oleh Muhammad Zuyad Muhammad Hamzah dari SMK Tunku Putra Langkawi mewakili acara ekuin manakala puteri dimenangi oleh Tai Cheau Xuen dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang mengambil bahagian dalam acara wushu.

Anugerah sukan MSSM-MILO pendidikan khas untuk putera dimenangi oleh Mohamad Rafiq Nasyreen Mat Ropi dari SMK Bachok, Kelantan (dalam sukan balapan dan padang) manakala anugerah sukah pendidikan khas puteri dimenangi oleh Norsuhana Ramlan dari SMK Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Semua hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato' Sri Abdul Ghafar Mahmud yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.