Search This Blog

Wednesday, 21 March 2012

Kemala Dinobatkan Sasterawan Negara ke-11

Majlis Anugerah Gilang Gemilang

Datuk Ahmad Kamal Abdullah yang lebih dikenali sebagai Kemala telah dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara ke-11 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 20 Mac 2012.

Pemilihan Kemala, 71, sebagai Sasterawan Negara berdasarkan sumbangan cemerlang beliau dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui hasil  karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Dalam MajlisAnugerah  Satera Negara itu, Kemala menerima Warkah Penghormatan Negara,  wang tunai berjumlah RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan dijadikan bahan bacaan di perpustakaan sekolah di sleuruh negara,  perpustakaan awam, jabatan dan agensi kerajaan.

Semasa membuat pemilihan tersebut pada 3 Mei tahun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran selaku pengerusi panel menjelaskan Kemala telah menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.

"Karya-karya tokoh ini bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan. Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara," katanya.

Karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.
 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran dan Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-11 dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Awang Sariyan turut hadir.

Kemala yang dilahirkan di Gombak, Selangor juga pernah menerima Anugerah SEA Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda (1980) dan Sarjana (1985) dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2000).




Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.