MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SOSIAL KORPORAT PENDIDIKAN (PROSKOP) SUMBANGAN BAHAN BACAAN TAMBAHAN UNTUK PUSAT SUMBER SEKOLAH KEBANGSAAN LUAR BANDAR



Program Sosial Korporat Pendidikan (Proskop): Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan untuk Pusat Sumber Sekolah-Sekolah Kebangsaan Luar Bandar telah dilancarkan oleh Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datin Hajjah Noorainee binti Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Auditorium Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 29 Februari 2012. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud dan Pengerusi Eksekutif, Yayasan Minda Kebangsaan, Encik Kamarulzaman bin Kamdias.

Program usahasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia, Yayasan Minda Kebangsaan dan Ana Muslim selaku pembekal bahan-bahan bacaan bertujuan menggalakkan sumbangan pihak korporat dalam membantu membekalkan bahan bacaan ke sekolah-sekolah luar bandar, disamping menyemai dan menggalakkan minat membaca di kalangan murid.

Sebanyak 500 buah sekolah kebangsaan luar bandar berpeluang menambah koleksi bahan bacaan di Pusat Sumber masing-masing menerusi pembekalan sebanyak 2,500 set bahan bacaan tambahan yang akan disumbangkan oleh Yayasan Minda Kebangsaan.

Antara syarikat yang turut memberi sumbangan dana bagi membiayai pembekalan bahan-bahan bacaan ialah NAZA Motors, Syarikat Perumahan Negara Berhad, SME Bank, Yayasan Budimas, OnlySha Venture Enterprise, Tetap Dinamik dan Blue-T Communications Sdn. Bhd.

Bahan-bahan bacaan akan dibekalkan ke sekolah-sekolah yang terpilih secara berperingkat-peringkat mulai Mac 2012 sehingga Disember 2012.  

Puan Sri Datin Hajjah Noorainee dalam ucapannya menyeru kepada pihak swasta, syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar dapat bersama-sama menyumbang bagi membantu agenda pendidikan negara sebagai satu tanggungjawab sosial menerusi program tersebut.  

Menurutnya aktiviti membaca sebagai sesuatu yang sihat dan amat menyeronokkan perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak sejak awal bagi melahirkan individu yang lebih kreatif, kritis, matang dan berfikiran terbuka.  

Sementara itu, Y.Bhg. Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada Yayasan Minda Kebangsaan diatas inisiatif untuk menyumbang sekurang-kurangnya 50 judul bahan bacaan tambahan kepada setiap Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar dengan melibatkan sebanyak 6,234 buah sekolah. Untuk permulaan, sebanyak 500 Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar akan menerima sumbangan berbentuk Siri Ensaiklopedia Kanak-Kanak Muslim, Siri Legenda, Siri Bacaan Ilmu, Siri Sains dan Siri Alam Sekitar.

Menurutnya, buat masa ini, nisbah murid dengan koleksi Pusat Sumber Sekolah ialah 1:15 bagi Sekolah Rendah dan 1:20 bagi Sekolah Menengah dan melalui peruntukan per kapita serta peruntukan bahan bacaan tambahan, Kementerian Pelajaran berusaha untuk menambah jumlah koleksi bahan bacaan di Pusat Sumber Sekolah mengikut piawaian yang ditetapkan.  



Dato’ Sri Abdul Ghafar juga mencadangkan agar Pusat Sumber mengambil inisiatif dengan memuat turun e-book percuma yang berkualiti yang boleh diakses di mana-mana dan bila-bila masa melalui capaian internet bagi memperkukuhkan Bahasa Inggeris   Beliau juga berharap agar semua Pusat Sumber Sekolah dapat menjadi nadi kecemerlangan di sekolah yang menjana transformasi pendidikan khususnya dalam penyebaran dan perkembangan ilmu, inovasi serta teknologi maklumat.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments