Search This Blog

Tuesday, 10 April 2012

Dialog Nasional Pendidikan Bermula


Dialog Nasional Pendidikan Negara yang berusaha mendapatkan input bagi merangka pelan pendidikan yang mampu melahirkan pelajar berdaya saing dan boleh mengaplikasikan pengetahuan telah dimulakan dengan penyertaan lebih 3,000 warga Kementerian Pelajaran Malaysia dari seluruh negara.

Semasa berucap ketika melancarkan dialog dan laman web Dailog Nasional Pendidikan Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia Timbalan Perdana yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, laporan maklum balas berhubung penilaian semula sistem pendidikan kebangsaan itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan, manakala laporan akhir dijangka dapat dijadikan “roadmap” pada akhir tahun ini.

Dailog yang dimulai dengan menghimpunkan warga pendidik dari pelbagai peringkat pada hari ini akan diteruskan sehingga bulan Jun meliputi pengumpulan maklum balas, pandangan dan cadangan Majlis Pengetua, Majlis Guru Besar, Pegawai Pelajaran Daerah, guru-guru dan orang awam manakala sebuah panel pakar akan mengkajinya secara terperinci.

Menurut Tan Sri Muhyiddun, “Kita hendak pihak kepimpinan Kementerian faham dahulu apakah tujuan sebenar kajian dibuat…yang pasti semua pandangan akan diambil kira.”

Dengan menggunakan asas tersebut, proses “engagement” dari dalam akan dapat menyelami secara lebih baik mengenai permasalahan yang dihadapi dalam sistem pendidikan sekarang, dan dalam masa yang sama, beberapa input daripada para pakar luar negara yang dilantik iaitu Kanada, Korea Selatan dan Singapura. 

Menteri Pelajaran turut mengharapkan lebih ramai yang akan menyertai dialog tersebut sama ada terlibat secara langsang mahupun menyampaikan pandangan dan cadangan menerusi laman web www.eduReview.com yang dilancarkan itu. Sekurang-kurangnya satu dialog akan diadakan di setiap negeri dan semua pandangan dan pendapat yang dikumpulkan itu akan dianalisis untuk dijadikan input blueprint pendidikan.

"Jadi saya belum boleh jangkakan apakah hasil laporan tersebut tapi kita sudah kenal pasti sembilan bidang keutamaan yang akan dibincang serta dibahaskan dalam sesi dialog," katanya.

Semasa menjawab soalan mengenai sama ada hasil laporan itu bakal mewujudkan satu dasar baru, Tan Sri Muhyiddin berkata dasar sedia ada sudah baik tetapi kalau ada beberapa perkara dalam dasar itu yang perlu diubah suai tanpa menjejaskan falsafah dan matlamat pendidikan negara, mungkin boleh dilakukan.

"Kalau ia melibatkan peruntukan dalam akta maka kita terpaksa kaji dahulu dan perlu dibawa kepada pihak kerajaan, tapi tak mengapa kita terima dulu semua pandangan kerana kita nak amalkan sikap terbuka dan tidak mahu menyekat apa jua pandangan yang diberikan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata transformasi pendidikan seharusnya memberi impak yang besar kepada kemenjadian murid dan bukanlah sekadar menempel-tampal dan membaik-pulih model pendidikan, sebaliknya ia perlu lonjakan besar atau perubahan total.

"Adakah wajar untuk kita kekalkan sistem itu untuk melalui masa depan yang mencabar? Umpama sebuah kereta lama yang dicat baru. Nampak cantik di luar tetapi enjin tetap lama. Mugkinkah kita perlu kereta baru, teknologi enjin yang baru, lebih laju dan menjimatkan tenaga," katanya.

Beliau berkata adalah menjadi hasrat kementerian membuka peluang seluas-luasnya kepada semua masyarakat dan warga pendidik malahan juga golongan berkepentingan dari luar kementerian untuk menyalurkan pendapat dan pandangan.

"Kerajaan yakin sumbangan pemikiran dan idea kreatif dapat mengupayakan inisiatif transformasi pendidikan bagi membentuk sistem pendidikan alaf baru yang relevan dan mapan," katanya.

Pada majlis itu, Tan Sri Muhyiddin turut mengumumkan lima lagi anggota baru panel penilai bebas sistem pendidikan kebangsaan terdiri daripada Profesor Tan Sri Dr Kamal Hassan (UIAM), Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah (Sarawak), Profesor Datuk Chuah Hean Teik (UNITAR), Profesor Madya Dr N Rajendran (UPSI) dan Dr. Abdul Kadir Rosline (UiTM, Sabah).




Maklumat dikemaskini:

Sembilan Bidang Keutamaan Untuk Perbincangan
Prioriti #1
Guru
Mentransformasi dan menyegarkan profesion keguruan sebagai profesion utama pilihan

Prioriti #2
Kepimpinan Sekolah
Mentransformasi dan meningkatkan keupayaan kepimpinan pemimpin sekolah sedia ada dan akan datang

Prioriti #3
Kualiti Sekolah
Meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dan memastikan setiap sekolah memenuhi standard garis asas yang minimum bagi infrastruktur

Prioriti #4
Kurikulum dan Pentaksiran
Memperkukuh dan mengantarabangsakan rangka kerja kurikulum dan pentaksiran

Prioriti #5
Profisiensi Pelbagai Bahasa
Memperkukuh Bahasa Melayu, meningkatkan profisiensi Bahasa Inggeris dengan cepat dan memperluas peluang setiap kanak-kanak untuk mempelajari bahasa ketiga

Prioriti #6
Peluang Lepasan Menengah
Meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tingi dan pekerjaan dalam pasaran kerja

Prioriti #7
Ibu bapa, Komuniti dan Sektor Swasta
Menganjak sistem pendidikan daripada ‘sistem sekolah’ kepada ‘sistem pembelajaran’ dengan lebih penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Prioriti #8
Kecekapan dan Keberkesanan Sumber Kementerian
Mengurangkan pembaziran, merasionalkan program, menjimatkan kos dan meningkatkan produktiviti KPM, JPN dan PPD

Prioriti #9
Kapasiti dan Keupayaan Sistem Penyampaian Kementerian
Meningkatkan penyampaian dan pelaksanaan; Membina kapasiti kepimpinan KPM, JPN dan PPD



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

5 comments:

mama said...

Salam. melalui pengalaman & pemerhatian saya sebagai seorang guru sains rumahtangga satu ketika dulu ..matapelajaran SAINS RUMAHTANGGA sangat wajar dan WAJIB diajar semula di sek men.tg1-3 .Silibusnya lengkap menyediakan seorg pel/gadis dengan pengetahuan asas dan kemahiran rumahtangga...masakan, jahitan, seni keibuan, hal2 penjagaan rumah kediaman kini tidak dpt lagi diterapkan oleh ibubapa yg sibuk dgn kerjaya masing2...Kemahiran Hidup tidak dpt memenuhi keperluan individu remaja dgn kemahiran hidup yg sebenarnya hidup ala kadar je...contonnya pelajar tidak sensitif dengan kebersihan...sbb sains rumahtangga mementingkan kebersihan.matapel ini ada NILAI KEHIDUPAN..kiranya ada email saya mohon utk berkongsi pengalaman betapa harga SAINS RUMAHTANGGA amat tinggi nilainya dan bermakna...tambahan pula kini saya hampir bersara ....insyaAllah saya berdoa dan berharap KPM wujudkan semula matapel SAINS RUMAHTANGGA kpd pel perempuan..pelajar lelaki matapelajaran seni perusahaan ...KEMBALIKANKANLAH silibus pelajaran tersebut demi kesejahteraan rakyat yang semakin dalam kerencaman...

mdnorbakar said...

Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera

Saya Prof Madya Dr Md Nor Bakar pensyarah bidang pendidikan matematik di Fakulti Pendidikan UTM JB merangkap pengerusi Lembaga Pengelola Sek Rend dan Menengah Islam Hidayah JB (ie salah sebuah sekolah dlm rangkaian sek IKRAM- MUSLEH dimana saya juga adalah salah seorang AJKnya di Bhg R&D dan Jaminan Kualiti)telah berpeluang menghadiri sesi dialog meja bulat yg terakhir di RCL Resorts JB semalam (13 julai 2012,jam 3-6 ptg) ingin menyatakan bhw saya menyokong sepenuhnya matlamat melahirkan pelajar yg lebih berdaya saing bagi menghadapi masa depan yg penuh cabaran itu,tetapi yg paling merisaukan saya adalah bhw aspek pembentukan kerohanian,emosi,sahsiah/akhlak/moral samaada pelajar Islam dan bukan Islam serta isu isu yg berkaitan dgnnya untuk menjadikan pelajar yg holistik dan warganegara yg baik, bertanggung jawab dan cemerlang malangnya TIDAK termasuk dlm 9 bidang fokus/keutamaan yg dibincangkan atau yg ditetapkan itu. Mohon sangat jasa baik pihak KPM/panel yg dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Wan Zahid agar dapat melihat kembali aspek ini. Terima kasih.

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA said...

Terima kasih mama:
Cadangan yang dikemukakan sedang dikembangkan menerusi Transformasi Pendidikan Vokasional dalam Prioriti #4: Kurikulum dan Pentaksiran.

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA said...

Waalaikummussalam dan terima kasih mdnorbakar:
Cadangan tersebut sememangnya merangkumi dalam Prioriti #4: Kurikulum dan Pentaksiran.

sma65 said...

Kepakaran guru amat mempengaruhi dalam menghasilkan sumber manusia yang berkualiti, sebab itulah kini untuk menjadi pensyarah di univeristi mesti mempunyai kelayakkan akademik setaraf doktar falsafah.....
Dinegara maju, guru yang mengajar di peringkat sekolah sudah lama mempunyai tahap kelulusan dan kepakaran melebihi tahap ijazah pertama, lihat sahaja jiran tetangga kita Singapura. Jadi dalam refomasi pendidikan ini, mekanisma menghasilkan guru yang berkelulusan peringkat sarjana dan doktor falsafah perlu diberi perhatian. Kelayakkan mereka perlu digunakan sebaiknya, yakni diberi tugas yang khusus dengan imbuhan yang sewajar dengan kelulusannya.
Saya yakin, matlamat pendidikan negara akan lebih terjamin dengan kepakaran guru yang tinggi.

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.