KPM Laksanakan Kajian Rapatkan Jurang Sekolah Bandar Dan Luar Bandar



Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan bahawa Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian intensif untuk mencari jalan bagi merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar dalam usaha menambahbaik kualiti pendidikan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kajian berkenaan adalah penting untuk mengenal pasti isu dan masalah di sekolah luar bandar di mana pencapaian para pelajarnya adalah lebih rendah berbanding sekolah-sekolah di kawasan bandar.

 “Kita hendak lihat apa masalahnya adakah disebabkan infrastruktur yang tidak lengkap, kurang peralatan, kualiti guru, kurang guru, persekitaran pembelajaran yang tidak sesuai atau sikap ibu bapa yang menyebabkan anak-anak hilang tumpuan terhadap pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian 17 dewan sekolah sekitar Parlimen Pagoh, di Panchor pada 7 April lalu.

Tan Sri Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh, berkata jurang antara pelajar luar bandar dan bandar kelihatan timbul setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Bagaimanapun beliau sedar bahawa “Jurang memang tetap akan ada tetapi kita harap nanti jangan terlalu besar dan tidak realistik. Kita akan umum kajian ini apabila siap dan kita akan cari pelan tindakan untuk memperbaikinya.” 

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Temiang Renchong, dekat Bukit Pasir,  Timbalan Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan menutup SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini walaupun mengalami kekurangan murid. Pendirian ini sebenarnya sudah dijadikan dasar dan dipersetujui oleh semua pihak meskipun sesebuah sekolah terbabit hanya mempunyai 10 orang murid.

Menurut  Tan Sri Muhyiddi, pada masa ini terdapat kira-kira 1,800 SJKT dan SJKC di seluruh negara dan ketika ini dengan 41 peratus daripadanya mengalami masalah kekurangan pelajar. Sokongan kerajaan terhadap SJKT dan SJKC tersebut membuktikan bahawa kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kaum termasuk usaha untuk memulihara bahasa ibunda masing-masing. 

 “Sebab itu kita peruntukan RM1.04 bilion kepada SJKT setiap tahun dan RM2.8 bilion kepada SJKC bagi tujuan pembayaran gaji dan kos operasi,” katanya.

Mengenai SJKT Ladang Temiang Renchong itu, Tan Sri Muhyiddin berkata sebanyak RM11 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembinaan sekolah di mana  RM1 juta adalah untuk pembelian tanah manakala bakinya untuk pembinaan lapan bilik darjah dan sebuah dewan.


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments