Program Transformasi Kerajaan (GTP) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar

YAB Perdana Menteri ketika membentangkan pencapaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berkata  buat pertama kalinya dalam sejarah Negara, pendidikan peringkat rendah dan menengah adalah percuma di mana Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar setiap tahun untuk bidang pendidikan. Hasilnya, 77% daripada pelajar telah mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat pra-sekolah berbanding 67%, 2 tahun yang lalu.   

Selain itu, Kerajaan juga menyedari peri pentingnya peranan guru dalam memastikan sistem pendidikan yang berkualiti.  Sehubungan itu, laluan karier perguruan yang lebih baik berasaskan sistem kenaikan pangkat “time based” telah diumumkan dalam Bajet 2012.

Selain GTP yang telah diperkenalkan pada Tahun 2009, kerajaan juga pada Tahun 2010 telah memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersama-sama 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) serta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP). Melengkapinya ialah Model Baru Ekonomi (NEM) serta 6 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

Matlamat utama ETP dan NEM adalah untuk mengeluarkan Malaysia dari perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan yang betul, bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Perubahan dan pembaharuan yang dilakukan melalui inisiatif ETP dan NEM sepanjang 2 tahun yang lalu telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan.  Contohnya, laporan World Economic Forum bagi Tahun 2012 telah menyaksikan Malaysia naik 5 anak tangga dalam senarai daya saing ekonomi dunia berbanding tahun sebelumnya. Malaysia hari ini adalah antara 21 buah negara paling kompetitif ekonominya di dunia. Manakala, Bank Dunia di dalam laporannya “Doing Business 2012” pula telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-18 paling mudah memulakan atau menjalankan urus niaga dengan memintas negara-negara maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan dan Perancis. Syarikat perunding A.T Kearney juga telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing bagi Tahun 2012.

Menurut Perdana Menteri, segala yang dibentangkan itu adalah bukti jelas  sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan yang ada.

Dalam pada itu, program Transformasi Kerajaan (GTP) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar yang diperkenalkan sejak awal tahun 2010 menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2011, antara pencapaian terbesar tahun lalu adalah kejayaan mencatatkan pendaftaran pra sekolah sebanyak 77.23 peratus kanak-kanak di negara ini iaitu sebanyak 732,902 kanak-kanak berusia 4 tahun hingga enam tahun. Kejayaan dihasilkan menerusi pembukaan sebanyak 3,089 kelas prasekolah di seluruh negara iaitu dua kali ganda daripada kelas yang dibuka pada tahun 2010.

Di peringkat sekolah rendah, inisiatif NKRA turut menyaksikan program Literasi dan Numerasi (LINUS) kepada kanak-kanak darjah 2 mencapai kadar literasi 97.5 peratus dan kadar numerasi 98.6 peratus manakala kanak-kanak darjah 1 bagi Kohort 2 mencatatkan kadar literasi 91 peratus dan kadar numerasi 95.4 peratus.

Disamping itu, salah satu inisiatif dalam NKRA tersebut tahun lalu adalah memperkenalkan mekanisme untuk mengesan murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran dan sepanjang tahun lalu, 3,916 murid lemah di kalangan Tahun 2 telah berjaya dikenalpasti.

Inisiatif NKRA turut menganugerahkan status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kepada 32 sekolah rendah dan menengah pada tahun lalu berbanding 20 sekolah pada tahun 2010. 

Menerusi program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP), peratusan sekolah-sekolah yang berada dalam Band (pencapaian) rendah iaitu Band 6 dan Band 7 berjaya diturunkan sebanyak 40.25 peratus iaitu sebanyak 380 sekolah daripada 636 sekolah pada 2010.

Program SIP yang juga merupakan sistem pengumpulan data berpusat turut membolehkan peningkatan sebanyak 2.86 peratus jumlah sekolah ke dalam Band 1 dan Band 2 iaitu 2,157 sekolah berbanding 1,770 sekolah dua tahun lalu.


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments