Search This Blog

Sunday, 8 April 2012

WEF Kedudukan Bidang Pendidikan Malaysia Bertambah Baik

Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) telah mengiktifaf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan yang lebih baik dari 142 buah negara di seluruh dunia dan berdasarkan laporan terbaharunya, Malaysia  menduduki tangga ke- 21 berbanding pada tahun 2010 di tangga ke- 26.
Menurut laporan tersebut, tahap persaingan global pada tahun 2011/2012, kedudukan yang lebih baik itu disebabkan oleh kesungguhan kerajaan  melaksanakan pelbagai perubahan untuk mencapai hasrat menjadi negara maju pada tahun 2020 dan melangkah keluar daripada situasi ekonomi berpendapatan sederhana tinggi kepada negara berpendapatan tinggi.
Penekanan yang lebih meluas dalam pembangunan sektor pendidikan itu telah menjadikan Malaysia berada di kedudukan ke-14 secara keseluruhannya dan tangga kedua selepas Singapura bagi rantau Asia Tenggara. Kedudukan ini turut menjadikan sistem pendidikan Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.
Mengenai kualiti pendidikan peringkat asas (rendah), Malaysia berada di tangga ke -21, iaitu dengan skor 5.0 daripada tujuh skala yang diukur. Kadar enrolmen pendidikan rendah ialah 94.0 peratus, iaitu berada pada tangga ke-61 daripada keseluruhan 142 buah negara yang dikaji. 
Kadar enrolmen pendidikan rendah di Malaysia adalah lebih tinggi (5.0) daripada skor purata iaitu 3.8 . Kedudukan tersebut membuktikan bahawa Malaysia lebih terkedepan berbanding Brunei Darussalam (92.9 peratus), Amerika Syarikat (92.0 peratus), Filipina (91.7 peratus), dan Thailand (90.1 peratus). 
Pencapaian itu telah mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menentukan bahawa setiap rakyat menerima pendidikan berkualiti dan tidak disisihkan daripada sistem persekolahan, kerana Malaysia yakin menerusi pembangunan modal insan akan dapat melonjakkan pencapaian sebagai negara maju pada tahun 2020.
Usaha gigih kerajaan menerusi Inisiatif Keberhasilan Utama Negara (NKRA) misalnya dalam bidang pendidikan telah berjaya mempertingkatkan pencapaian pelajar kepada akses pendidikan. 
Sejak mula dilancarkan setahun lalu, pada tahun 2011 enrolmen kanak-kanak berumur lebih 4 tahun ke prasekolah telah meningkat sebanyak 732,902 kanak-kanak iaitu ke tahap 77.23 peratus. Sejumlah 3,089 kelas prasekolah telah beroperasi dan jumlah tersebut merupakan dua kali ganda daripada tahun 2010.
Inisiatif NKRA di peringkat sekolah rendah telah membuktikan bahawa program LINUS (Literasi dan Numerasi) kepada kanak-kanak darjah 2 menunjukkan peningkatan yang besar, iaitu 97.5 peratus kadar literasi dan 98.6 peratus kadar numerasi. 
Bagi kanak-kanak yang berada di tahun 1 bago kohort ke-2, kadar literasi ialah 91 peratus manakala kadar numerasi ialah 95.4 peratus. Pengukuran kadar literasi dan numerasi ini dapat membantu usaha mengesani murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran pada peringkat awal dan pada tahun 2011 misalnya, sejumlah 3,916 murid lemah dalam Tahun 2 dapat ditangani dengan berkesan.
Ukuran-ukuran yang dibuat itulah telah berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang mengalami transformasi pendidikan yang berkesan dan mampu bersaing di peringkat global. Bagi meneruskan usaha menambahbaik kedudukan daya saing di peringkat global, terutamanya dalam pendidikan rendah dan menengah. 
Malaysia sentiasa membuka ruang kepada semua pihak untuk membantu memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Ini adalah sesuatu yang amat penting kerana bidang pendidikan sentiasa berkembang dan amat bergantung kepada perubahan persekitaran. 
Dalam usaha memenuhi aspirasi semua rakyat, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memulakan siri dialog pendidikan di seluruh negara bermula bulan April ini di mana akan menghimpunkan pelbagai pihak, dari professional, warga pendidik, pemimpin masyarakat dan ibu bapa berganding bahu menyumbangkan idea bagi membentuk sebuah blueprint pendidikan yang bakal mencorakkan arah tuju sistem pendidikan pada masa hadapan.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.