MINGGU EDUCATION FOR ALL – EFA (PENDIDIKAN UNTUK SEMUA) 2012


Kementerian Pelajaran Malaysia akan menubuhkan Pusat Bimbingan Jalinan Qaseh bagi memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak geladangan atau terbiar yang tidak dapat mengikuti pendidikan kerana faktor kemiskinan, persekitaran dan kehidupan sosial yang tidak sihat serta tidak memberangsangkan.  
Menurut Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Faridah Abu Hassan, penubuhan pusat bimbingan ini diharap dapat memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak tersebut agar mereka dapat berdikari dan tidak akan menjadi liabiliti kepada masyarakat setempat serta Negara di masa hadapan.
Dr. Faridah yang berucap mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata demikian di majlis pelancaran Sambutan Minggu EFA 2012 di Lorong Haji Taib 3, Chow Kitt, Kuala Lumpur anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Yayasan Salam Malaysia pada 6 Mei 2012.
Tambahnya, menyedari kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara untuk pendidikan atau NKRA dengan matlamat untuk meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak ke prasekolah.  Sehingga tahun 2011 sebanyak 72.2% kanak-kanak telah menyertai prasekolah dan kerajaan mensasarkan 87% kanak-kanak akan menyertai prasekolah menjelang 2012. 
Minggu EFA diadakan selaras dengan sambutan Global Campaign for Education oleh UNESCO dan juga merupakan satu agenda UNESCO dalam ‘Reaching the Unreached’.  Pendidikan untuk Semua (EFA) merupakan inisiatif daripada pihak UNESCO yang mensasarkan 6 matlamat yang perlu dicapai menjelang tahun 2015.  Matlamat-matlamat tersebut merentas semua peringkat pendidikan bermula daripada awal kanak-kanak sehinggalah pendidikan sepanjang hayat pada peringkat dewasa.  Keenam-enam matlamat tersebut juga terangkum di dalam inisiatif utama Rancangan Malaysia ke-10.
Tema Minggu EFA pada tahun ini Rights From The Start! “Early Childhood Care And Education Now” amat bertepatan dengan hasrat KPM untuk bersama-sama merealisasikan transformasi pendidikan dan pendidikan prasekolah telah maju setapak lagi untuk meningkatkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan ke alam persekolahan.  Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah lebih komited dalam pendidikan.
Harapan KPM ialah agar semua pihak dapat menggembeling tenaga bersama-sama KPM bagi memastikan anak-anak berpeluang mengikuti pendidikan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan seterusnya kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara. 













Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments