PROGRAM GURU PENYAYANG PERINGKAT KEBANGSAAN



Program Guru Penyayang yang berkonsepkan guru penyayang dan sekolah penyayang di semua sekolah yang telah pun bermula pada sesi persekolahan awal Januari lalu dilancarkan di SK Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar, Perak pada 15 Mei 2012 bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2012.  

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Sri Abd. Ghafar Mahmud ketika melancarkan program tersebut berharap suasana dan pendekatan tersebut berlaku di semua sekolah pada setiap hari persekolahan di mana setiap sekolah akan menjalankan program dan aktiviti berkonsepkan guru penyayang dan sekolah penyayang bagi membolehkan guru mengamal dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah.

Menurutnya untuk membudayakan guru penyayang dan mewujudkan sekolah penyayang atau sekolah tanpa takut, guru seharusnya berupaya menjadi contoh dan teladan yang baik, pendorong yang berkesan, pembimbing yang bertimbang rasa, pendengar yang penuh rasa simpati dan menjadi sumber inspirasi kepada murid-muridnya.

Guru sebagai ‘role model’ dalam membudayakan sikap kasih sayang demi memastikan murid-murid seronok belajar dan menganggap sekolah adalah seperti rumah keduanya, juga bertindak sebagai agen untuk melahirkan modal insan cemerlang, selain sebagai penjana kepada perubahan murid sama ada pemikiran, tingkah laku, keluhuran hati budi dan pertumbuhan fizikal.  

Sehubungan itu, Dato’ Sri Abd. Ghafar berharap guru dapat memainkan peranan penting dalam pendidikan dan bersedia mempraktikkan amalan-amalan terbaik yang terkini serta sentiasa mengaplikasikan pembelajaran ‘fun learning’ di sekolah sebagaimana yang telah dipraktikkan di kebanyakan negara maju yang terbukti berkesan dalam membantu perkembangan sosial, mental dan keyakinan diri kanak-kanak.

Tambahnya, tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada muridnya, tetapi lebih daripada itu, iaitu mendidik, membimbing dan membangunkan potensi murid mengikut lunas-lunas nilai masyarakat dalam konteks masyarakat Malaysia seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020. Profesion perguruan juga adalah untuk membina dan membentuk masyarakat beretika yang mampu membangun dan membina kekuatan sendiri serta menentukan masa depan yang bebas daripada pelbagai krisis sosial dan moral.

Program Guru Penyayang dilaksanakan secara pelan jangka pendek dan jangka panjang secara berfasa, di mana bagi fasa pertama, guru-guru hendaklah melaksanakan tiga aktiviti iaitu mengalu-alukan kehadiran pelajar, melaksanakan program mentor mentee dan memberi penghargaan kepada pelajar.






Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments