KEJAYAAN PASUKAN HOKI REMAJA KEBANGSAAN DALAM KEJOHANAN HOKI REMAJA PIALA ASIA 2012


Pasukan hoki remaja Malaysia berjaya melakar sejarah baru dalam sukan hoki negara apabila melayakkan diri untuk bertanding di Kejohanan Piala Remaja Hoki Dunia 2013 di New Delhi, India, setelah menewaskan Pakistan 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Remaja Asia 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Serindit, Melaka.  Kedua-dua jaringan adalah menerusi Faizal Saari pada minit kedua dan Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-17 pada babak pertama perlawanan.

Kejayaan tersebut yang julung kalinya dalam tempoh 20 tahun membuktikan bahawa program pembangunan hoki Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah telah menampakkan hasil.

Pasukan hoki remaja Malaysia yang dibentuk pada tahun 2009 mempunyai 18 pemain, di mana 12 daripadanya adalah bekas murid Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor (SSTMI), sementara 2 lagi pemain iaitu Mohammed Hazrul Faiz Ahmad Sobri yang terpilih sebagai ‘Most Promising Player’ dan ‘Best Goalkeeper’ dan Kavin Karthik s/o Govindasamy sebagai ‘Man-of-the-match’ merupakan pelajar pra universiti di SSBJ.  


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments