MAJLIS PELANCARAN PELAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN ORANG ASLI KEBANGSAAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


Pelan Transformasi Pendidikan Orang Asli yang dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, menggariskan tujuh inisiatif baru sebagai usaha untuk mengarusperdanakan masyarakat Orang Asli seiring dengan kemajuan rakyat Malaysia.
Berucap di majlis pelancaran di Sekolah Kebangsaan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Betau, Kuala Lipis, Pahang pada 21 Jun 2012, YAB Timbalan Perdana Menteri menyenaraikan inisiatif-inisiatif tersebut seperti berikut:-
  • Pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid-murid Orang Asli, bermula di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian, di mana kualiti kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat akan dipertingkatkan dengan memastikan segala isu dan permasalahan yang dihadapi anak-anak Orang Asli dapat diselesaikan segera, tanpa membelakangkan sosiobudaya yang diamalkan.
  • Memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli dengan tujuan untuk melengkapkan murid-murid Orang Asli dengan pelbagai kemahiran sebagai persiapan sebelum memasuki alam pekerjaan.
  • Mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah sebanyak enam (6) peratus setiap tahun mulai tahun 2013 dan bagi meningkatkan pencapaian prestasi sekolah-sekolah yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli, Kementerian Pelajaran telah merangka program-program yang bersesuaian seperti Kelas Bimbingan Khas kepada murid-murid Orang Asli, program peningkatan kadar literasi dan numerasi (LINUS) dan sebagainya.
  • Mempertingkatkan pengambilan pelajar-pelajar bagi Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis mengikut keperluan semasa.  Sehubungan itu, PISMP bagi Orang Asli akan dilaksanakan pada bulan Julai 2012 dengan pengambilan permulaan seramai 25 pelajar.  Kementerian Pelajaran juga sedang merangka untuk mewujudkan jawatan Pembantu Pengurusan Murid daripada kalangan Orang Asli bagi membantu guru-guru mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid-murid Orang Asli.  Perkara tersebut akan diperhalusi dengan agensi pusat lain sebelum ianya dimuktamadkan.
  • Menambahbaik kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli menerusi penambahan sebanyak empat buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9 di Perak, Selangor, Johor dan Pahang bermula tahun 2013.  Kerajaan juga akan terus meneliti keperluan pembinaan sekolah baru di kawasan-kawasan penempatan Orang Asli yang mempunyai ramai penduduk seperti di Batu Sawar dan di Kampung Api Larat dalam daerah Pekan, Pahang termasuk kawasan-kawasan yang mempunyai keperluan mendesak bagi memastikan anak-anak Orang Asli dapat ke sekolah dan tidak ketinggalan untuk mendapatkan pendidikan. 
  • Selain itu, sebanyak empat buah asrama berpusat akan dinaiktaraf atau dibina mulai tahun 2013 bagi kemudahan dan keselesaan murid-murid Orang Asli, selain usaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti pengangkutan bas dan kenderaan pacuan empat (4) roda bagi memastikan murid-murid Orang Asli dapat menjalani pelbagai aktiviti persekolahan dengan lebih berkesan.  Sementara rumah guru sedia ada akan dinaik taraf atau dbina khusus di kawasan pedalaman 2 dan 3 bagi memastikan guru-guru mendapat tempat yang selesa dan kondusif.
  • Memperkasakan jalinan kerjasama (smart partnership) melalui pewujudan hubungan yang lebih strategi dengan rakan sinergi, rakan di lapangan serta rakan antarabangsa bagi membolehkan hasrat untuk merealisasikan transformasi ini tercapai.  Sehubungan itu, semua kempimpinan pendidikan negeri dan daerah diseru agar membina dan mewujudkan suatu ekosistem yang komprehensif bagi mencapai matlamat tersebut.
  • Mewujudkan satu Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli yang mengandungi aspek auditan pencapaian prestasi sekolah-sekolah dan murid Orang Asli yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan dan pembetulan dari masa ke semasa, di mana langkah ini akan dapat mengenalpasti prestasi pencapaian seramai 28,071 murid Orang Asli di seluruh negara.














Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments