MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN PENDAFTARAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA NEGERI JOHOR SEBAGAI SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK) ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN KERAJAAN NEGERI JOHOR
Bagi
memastikan proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa dipertingkatkan,
kerajaan telah melaksanakan langkah proaktif dengan mendaftarkan Sekolah Agama
Rakyat (SAR) atau Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara sebagai Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan (SABK), di mana jumlahnya sehingga kini ialah sebanyak 169
buah.
Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin
Yassin ketika berucap di majlis menandatangani memorandum persefahaman
pendaftaran sekolah-sekolah agama negeri Johor sebagai Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan (SABK) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor pada
14 Ogos 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru berkata
hasrat tersebut amat bertepatan dengan matlamat pembangunan modal insan negara
yang ingin melihat lebih ramai professional agama.
Sehubungan
itu, beliau yakin menerusi kerjasama erat diantara Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri Johor, proses pembangunan modal insan rakyat Negeri Johor akan
dapat direalisasikan.
Majlis turut
diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan
Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul
Ta’zim.
Selain itu, menurut Tan Sri Muhyiddin, guru-guru SABK juga akan
diberikan latihan yang bersesuaian, selain gaji yang lebih kompetitif, serta
layak menerima pelbagai kemudahan seperti kenaikan pangkat, pencen, pinjaman
perumahan dan sebagainya. Sehubungan
itu, dengan kemasukan 25 buah sekolah agama Negeri Johor sebagai SABK, seramai
684 guru dan 116 kakitangan sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap
dan berpencen di bawah KPM.
Selain
itu, murid-murid di SABK juga akan mendapat pendidikan yang lebih berkualiti,
di samping pelbagai kemudahan seperti Bantuan Perkapita, Bantuan Makanan
Asrama, Bantuan Buku Teks dan sebagainya, sebagaimana yang dinikmati oleh
sekolah-sekolah arus perdana. Tan Sri Muhyiddin
turut menarik perhatian masyarakat terhadap pencapaian akademik pelajar di SABK
yang didapati meningkat berbanding sebelum sekolah berkenaan didaftarkan
sebagai SABK, di mana pada tahun ini sahaja, sebanyak 18 buah sekolah SABK
telah dianugerahkan tawaran baru (new deal) di atas pencapaian dan lonjakan
prestasi yang memberangsangkan.
Dalam
aspek pembangunan, SABK juga akan menerima bantuan untuk pembangunan fizikal
bagi memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih
kondusif. Menurut Tan Sri Muhyiddin,
sehingga kini, lebih daripada RM5.2 juta telah diperuntukkan untuk tiga buah
sekolah di negeri Johor.
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
Comments
Post a Comment