MAJLIS PELANCARAN 30 JUDUL KARYA ASLI TERBITAN ITBM

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah melaksanakan Majlis Pelancaran 30 Judul Karya Asli Terbitan ITBM susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada 16 disember 2011 agar setiap buku yang diterbitkan oleh ITBM dengan kerjasama PENA dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) perlu terbit dalam tempoh masa tiga hingga enam bulan selepas manuskrip diterima daripada penulis.

ITBM ternyata berjaya melaksanakan KPI yang ditetapkan itu dengan jauh melangkaui sasaran menerusi penerbitan 30 judul buku dalam pelbagai bidang, berbanding 10 judul sebagaimana saranan Perdana Menteri.  


Dalam ucapannya di Majlis Pelancaran 30 Judul buku Karya Asli Terbitan ITBM di Seri Perdana, Putrajaya pada 3 Julai 2012, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan amat menghargai peranan yang dimainkan oleh para penulis di dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Menurutnya kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan per kapita, kadar pertumbuhan ekonomi dan jumlah eksport semata-mata.  Ia juga harus diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan daripada hasil penulisan.


Kerajaan juga katanya akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para penulis untuk berkarya, disamping membantu golongan penulis terutamanya generasi muda untuk memperkembangkan bakat mereka.


Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi ITBM, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh dan Pengarah Urusan ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron.  Menurut Dr. Sharuddin, ITBM bersama PENA dan Berita Harian telah mengadakan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi yang terbuka kepada penulis di bawah umur 45 tahun. Sayembara yang masih berlangsung sehingga 31 Januari 2013 merupakan salah satu strategi untuk mencungkil bakat penulisan generasi muda, selain menjadi kaedah berkesan untuk mendapatkan manuskrip yang diperakui terbaik dan berkualiti.

 

Kesemua buku yang dilancarkan itu boleh didapati di kedai buku ITBM di Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju atau di rangkaian kedai buku utama seluruh negara, selain menerusi laman e-Beli-belah (http://ecommerce.itbm.com.my)



Unit Komunikasi Korporat 
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments