Search This Blog

Thursday, 1 November 2012

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN AWAL PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN


Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.   Berucap di majlis pelancaran laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada 11 September 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,  Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin berkata dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan, 9 bidang keutamaan yang dikenalpasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan tersebut, KPM telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia.


Menurut Tan Sri Muhyiddin, Pelan Pembangunan Pendidikan yang merupakan dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenalpasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.



Keseluruhan anjakan tersebut juga akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara sekiranya ia dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.  Sehubungan itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di KPM, khususnya kumpulan Pengurusan tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan dan KPI tersebut akan disebarkan ke peringkat bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah.

KPM juga menurutnya akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu pelaksanaan pelan, di mana unit ini akan memantau kejayaan, menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. 

Pelan Pembangunan Pendidikan yang julung kali disediakan hasil rundingan awal secara telus dan terbuka, di mana lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai menerusi siri Jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diambil kira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan.
Kementerian seterusnya akan mengadakan Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan pelan, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklumbalas lanjut kepada Kerajaan.  




Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.