Search This Blog

Monday, 12 November 2012

WORLD ROBOT OLYMPIAD KUALA LUMPUR 2012

Penganjuran World Robot Olympiad (WRO) di Kuala Lumpur pada tahun ini amat bertepatan memandangkan tahun 2012 telah diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional yang bertujuan untuk menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia. 


Berucap di majlis perasmian WRO pada 10 November 2012 di Hotel Sunway Resort,  Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran percaya WRO turut berperanan sebagai landasan terbaik bagi memupuk minat para pelajar di dalam bidang sains dan teknologi, melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan. 


Menurutnya, penglibatan dalam pertandingan seperti WRO sememangnya membantu pelajar memperkukuhkan lagi pengalaman pembelajaran di luar daripada bilik darjah serta mempelajari tentang dunia kehidupan yang sebenar.  


“Belajar melalui aktiviti merekacipta, membina dan mengendalikan robot membantu pelajar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan komputer, elektrikal dan mekanikal bertekonologi tinggi yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi dalam industri, selain membantu pelajar meningkatkan kemahiran-kemahiran yang penting bagi kehidupan di abad ke 21 ini, iaitu kemahiran berfikir, penyelesaian masalah, pembelajaran kendiri serta kemahiran bekerja sebagai satu pasukan,” tambahnya.



Tan Sri Muhyiddin juga berharap agar sikap positif yang ditunjukkan oleh peserta seawal usia di peringkat sekolah rendah terhadap sains dan teknologi, serta dapat menguasai pengetahuan tersebut dengan baik akan dapat terus kekal berada di dalam bidang sains dan teknologi sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada negara masing-masing serta mampu bersaing dalam bidang tersebut.


Menurutnya memandangkan bidang robotik merentasi bidang-bidang disilipin yang lain seperti fizik guaman, matematik dan kejuruteraan, ia menjadikan robot sebagai alat bantu mengajar yang popular dan berkesan bagi memperkenalkan pelajar kepada kurikulum sains, teknologi dan matematik.

Bidang sains dan teknologi di Malaysia sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, terutama dalam usaha Malaysia menuju ke arah menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.  Usaha bersepadu juga sedang dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan sains dan teknologi di Malaysia, khususnya bidang automasi dan robotik, sebagai alat bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mapan, seterusnya menjadi nilai tambah kepada agenda transformasi negara, tambahnya.
Di peringkat pengajian tinggi pula, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menubuhkan Pusat Robotik dan Kepintaran Buatan (Centre of Artificial Intelligence and Robotics – CAIRO) pada tahun 1997 yang kini menjadi meneraju bagi bidang Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence), Robotik dan Automasi di negara ini.
Menurut Tan Sri Muhyiddin lagi, pemilihan tema bagi WRO pada tahun ini iaitu ‘Robots Connecting People’ amat bertepatan sekali dan penganjuran WRO menerusi kerjasama erat antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak Sasbadi Sdn. Bhd yang seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penglibatan pihak swasta dalam membantu usaha melahirkan modal insan berkualiti melalui kerjasama awam-swasta.
 
Pengiktirafan Kerajaan terhadap peranan penting pihak swasta dalam membantu merealisasikan aspirasi sistem pendidikan Negara telah membawa kepada keperluan untuk meningkatkan tahap penglibatan mereka dalam sistem pendidikan dan hasrat ini turut digariskan sebagai salah satu daripada 11 anjakan di dalam Laporan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan pada September lalu.
Sementara itu Encik Eugene Zhang, Pengerusi Suruhanjaya Penasihat WRO berkata WRO yang telah dianjurkan buat kali kesembilan menunjukkan peningkatan jumlah penyertaan dengan hanya 4,000 pasukan pada 2004 kepada 37 buah negara ahli dengan lebih 17,000 pasukan daripada seluruh negara mengambil bahagian dalam aktiviti WRO, dan dengan lebih 400 pasukan yang hadir di WRO KL  menjadikannya pertandingan akhir antarabangsa terbesar.
Turut hadir di majlis perasmian ialah Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Encik Law King Hui, Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd.
Kuala Lumpur buat pertama kalinya menjadi hos kepada WRO 2012 yang diadakan pada 9 hingga 11 November 2012 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dengan melibatkan penyertaan daripada 30 buah negara, iaitu Australia, Bahrain, Brunei, China, Chinese Taipei, Costa Rica, Denmark, Egypt, Germany, Ghana, Greece, Hong Kong, India, Indonesia, Iran, Japan, Malaysia, Mexico, Nigeria, Oman, Peru, Philippines, Russia, Singapore, South Africa, South Korea, State of Qatar, Thailand, United Arab Emirates dan Ukraine.  Malaysia menampilkan kontinjen terbesar menerusi 56 pasukan yang bertanding dalam pelbagai kategori.
Turut diadakan ialah Malam Persahabatan (Friendship Night)) yang disempurnakan oleh Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.