KUMPULAN MASTER-H (BPTV) MERANGKUL ANUGERAH MENTERI PELAJARAN DI KONVENSYEN KIK KPM 2012



Warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu bekerja dan berfikir secara kreatif dan inovatif serta mengubah sikap dan cara bekerja yang rutin dan di takuk lama bagi membantu mempercepatkan proses membuat keputusan dan meningkatkan kecekapan serta produktiviti kerja selaras dengan fasa transformasi pendidikan yang berlaku sekarang.

Dato’ Dr. Rosli Mohamed, Ketua Setiausaha KPM ketika merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif  KPM 2012 (KIK KPM) pada 29 Oktober 2012 di Hotel Royal Bintang, Seremban berharap warga KPM termasuk pendidik akan terus berusaha menjana kreativiti selain mempertingkatkan prestasi kerja bagi memastikan matlamat negara membentuk modal insan yang unggul tercapai.



Menurutnya, penjanaan kreativiti yang berterusan mampu mencetus inovasi seterusnya mencipta kelainan supaya KPM berupaya menempa impak yang tinggi dan secara tidak langsung dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam merealisasikan agenda negara ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Menurut Dato’ Dr. Rosli, pewujudan kumpulan KIK di Bahagian/Jabatan mahupun di institusi pendidikan mampu menerokai idea-idea baru untuk memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

KIK KPM 2012 yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November 2012 menyaksikan penyertaan 31 kumpulan KIK berbanding 43 pada tahun lalu.



Senarai pemenang adalah seperti berikut:-

Kategori Pengurusan
Tempat Pertama - Kumpulan Inno-Vision (Institut Aminuddin Baki) menerusi projek bertajuk ‘Proses Penyediaan Pelaporan KPI Mengambil Masa Yang Panjang’. 
Tempat Kedua - Kumpulan iQ-Ten (Bahagian Buku Teks) – Tajuk Projek ‘Mempercepatkan Proses Pengurusan Pendaftaran Penilai Mesyuarat Penilaian Buku Teks’
Tempat Ketiga - Kumpulan Dinamik (Majlis Peperiksaan Malaysia) – Tajuk Projek ‘Mempercepatkan Proses Pengendalian Kes Calon Tidak Hadir, Tiada Skrip, dan Tiada Markah bagi Peperiksaan STPM dan MUET’.

Kategori Teknikal
Tempat Pertama - Kumpulan Master-H dari Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional menerusi projek bertajuk ‘Kemerosotan Gred Purata Sekolah (GPS) bagi subjek Sejarah dalam peperiksaan SPM di Sekolah-Sekolah Menengah Teknik Tahun 2007-2009’.
Tempat Kedua - Kumpulan Toninipot (Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, Sabah) – Tajuk Projek ‘Kotak “Toninipot” – Kemahiran 12SK (12 Kemahiran Sukukata)’
Tempat Ketiga - Kumpulan H3LP (Bahagian Pengurusan Maklumat) – Tajuk Projek ‘Sistem Pengurusan Meja Bantuan ICT sedia ada kurang efisien dan efektif’

Anugerah Menteri Pelajaran dimenangi oleh Kumpulan Master-H dari Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV).  Manakala Encik Suraimi Haji Rithwan juga dari BPTV memenangi Anugerah Fasilitator Terbaik.


Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong di majlis penutup Konvensyen KIK 2012.

Menurutnya KPM perlu memainkan peranan bagi memastikan sumber tenaga yang berbakat, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta mempunyai daya kreativiti dan berinovatif  dapat dilahir dan dibangunkan dengan menyediakan pendidikan berkualiti. 

Datuk Ir. Dr. Wee berkata projek-projek KIK yang berpotensi dan memberi impak tinggi kepada KPM akan dikenalpasti dan dikongsi bersama untuk digunapakai di semua Bahagian dan Jabatan bagi membantu warga KPM melaksanakan tugas dengan kreatif dan mampu meningkatkan produktiviti kerja.  Semua maklumat dan data berkaitan mengenai projek-projek KIK akan dikumpul dan disimpan untuk rujukan dan usaha menggunapakainya sekiranya bersesuaian.  Projek KIK berpotensi tinggi juga boleh dijadikan touch point Kementerian dalam usaha menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. 

Datuk Wee turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Green Tech dari JPN Perak yang telah mewakili Malaysia di Konvensyen ICC peringkat antarabangsa pada 15 hingga 16 Oktober 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan .mendapat pengiktirafan tertinggi iaitu 3 bintang. 




Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments