Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman KPM-WWF Malaysia dan Pelancaran Laman Mikro IPG Lestari



Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Dr. Rosli Mohamed berharap pelaksanaan IPG Lestari di semua kampus dapat memberi peluang dan ruang kepada setiap individu di IPG mengamalkan gaya hidup lestari dan menyebarluaskan amalan lestari kepada murid sekolah rendah apabila guru pelatih kampus IPG ditempatkan sebagai guru di seluruh negara bagi melahirkan guru dan anak didik yang mesra dan menghargai alam sekitar.

Berucap di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan WWF Malaysia dan pelancaran Laman Mikro IPG Lestari pada 23 Julai 2012 di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya, Dato’ Dr. Rosli berkata MoU yang ditandatangani bertujuan merealisasikan kerjsama strategik di setiap peringkat organisasi IPGM dan Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) di 27 kampus dalam aspek penyediaan persekitaran yang mesra alam.

IPG Lestari yang dilaksanakan oleh IPGM dan kampusnya di seluruh negara menerusi kerjasama WWF-Malaysia membuka peluang untuk merancang, melaksana, menilai dan menambah baik program kelestarian, di semua kampus IPG, sekaligus membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi kepakaran dalam pendidikan yang berkaitan dengan alam sekitar.

Majlis pelancaran IPG Lestari yang telah diadakan di IPG Kampus Temenggong Ibrahim pada 22 April 2012 sempena Hari Bumi Sedunia adalah selaras dengan aspirasi Menteri Pelajaran Malaysia yang memberi penekanan kepada trasnformasi dalam pendidikan guru dan ‘Eco-Institute’ yang akan diteruskan sehingga 2014.

Selain WWF-Malaysia, program juga mendapat sokongan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREBS).

Disamping laman sesawang ‘Eco-Institute’ yang dibangunkan hasil kerjasama WWF-Malaysia bagi tujuan perbincangan dan pelaporan oleh semua kampus, Jawatankuasa Pelaksana Program IPG Lestari peringkat kampus juga telah ditubuhkan untuk merangka pelan tindakan perancangan aktiviti program IPG Lestari yang memberikan perhatian dalam kajian persekitaran melalui audit alam sekitar, atau audit hijau meliputi pelbagai sumber, termasuk air, sampah, tenaga elektrik dan tumbuh-tumbuhan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dato’ Wan Khazanah Ismail, Rektor IPG Datuk Dr. Haili Dolhan dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Dato’ Dr. Dionysius SK Sharma.







Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments