Search This Blog

Tuesday, 2 April 2013

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)


Pelaksanaan PBS telah diperkenalkan pada tahun 2011 di tahun satu dan pada tahun 2012
di sekolah menengah. Ini bermakna pelaksanaannya adalah masuk tahun ketiga di sekolah rendah dan tahun kedua di sekolah menengah. Namun begitu masih banyak pihak yang kurang jelas tentang PBS dan terdapat segolongan masyarakat yang mengatakan ianya satu sistem peperiksaan yang baharu yang akan menggantikan sistem peperiksaan sedia ada. Perlu diakui bahawa bukan mudah untuk memberikan kefahaman dalam jangka masa yang singkat, apatah lagi selama ini kita hidup dalam sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan
semata-mata.
PBS Bukan Perkara Baharu
Sebenarnya PBS bukanlah perkara baharu. Selama ini telah wujud PBS dalam sistem pendidikan di sekolah-sekolah, ada yang direkod dan ada yang tidak.  PBS yang direkod telah dilaksanakan oleh guru-guru dalam banyak mata pelajaran seperti Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) dan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) bagi mata pelajaran bahasa, Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) dalam Pendidikan Islam, dan Penilaian Kerja Amali (PEKA) bagi mata pelajaran Sains.
Mungkin ada yang tidak sedar bahawa guru-guru yang menggunakan teknik soal-jawab, kuiz, kerja projek dan pelbagai lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran, sebenarnya juga telah menjalankan pentaksiran. Cuma, segala pentaksiran yang dilaksanakan itu tidak direkodkan, atau jika direkodkan pun, tidak diambil kira sebagai sebahagian daripada markah dalam ujian atau peperiksaan yang dijalankan secara berasingan, yang lazimnya dikendalikan
secara formal.
Memahami PBS dalam SPPK
PBS ialah satu daripada dua komponen utama dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Satu komponen lagi ialah Peperiksaan Pusat (UPSR, PMR, SPM, STAM, SPMU). PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan. Komponen PBS terdiri daripada bidang akademik dan bukan akademik. Bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang
berasaskan sekolah.
Melalui rajah yang disertakan, diharap akan dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang PBS dan kaitannya dengan SPPK dan Peperiksaan Pusat.


Pentaksiran sekolah dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan dan berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Pentaksiran Pusat pula ialah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh LP dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK), Body Mass Index (BMI), aktiviti sukan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstra kurikulum. Manakala melalui Pentaksiran Psikometrik maklumat tentang kebolehan (innate ability dan acquired ability), kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid dapat membantu guru dalam proses pengajaran-pembelajaran.

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.