Search This Blog

Tuesday, 2 April 2013

Sistem Pentaksiran Ke Arah Pembangunan Modal Insan Kelas Pertama



Malaysia, sebagai negara pesat membangun, sedang mengalami perubahan selaras dengan hasrat untuk mencapai Wawasan 2020. Antara cabaran Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan dan membangunkan masyarakat maju bersifat holistik. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain. Misi Nasional yang diperkenalkan bertujuan untuk menyahut cabaran Wawasan 2020 dalam jangka masa 7 tahun akan datang. Pendekatan Misi Nasional memberi penekanan ke atas pembangunan modal insan minda kelas pertama yang akan merealisasikan kejayaan Malaysia sebagai negara yang dihormati dan disegani.

Seiring dengan Visi dan Aspirasi yang dinyatakan dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM), menekankan konsep ‘kualiti’ yang perlu ada pada setiap murid. Maka pendidikan, ibu bapa, murid dan semua ahli masyarakat perlu bersatu dalam merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Untuk maju, PPPM menggunakan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi membangunkan pendidikan seimbang sebagai asas pencapaian aspirasi murid. Ciri-ciri individu masyarakat maju ini adalah untuk melengkapkan diri bagi menghadapi dunia global masa hadapan.

Sistem Pendidikan merupakan agenda penting dalam membangunkan dan memajukan negara. Sistem pentaksiran dalam pendidikan boleh dijadikan instrumen penggerak bagi membentuk individu cemerlang intelek, jasmani, rohani, emosi, sahsiah dan berkemahiran tinggi. Setiap warga pendidik dan masyarakat umum perlu memahami matlamat sebenar mengenai pentaksiran.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan kaedah pentaksiran yang mencorakkan hala tuju sistem pentaksiran baharu. Ia adalah hasil usaha sama para pemikir, pembentuk polisi, wakil-wakil bahagian dan jabatan di Kementerian Pelajaran. Khidmat nasihat dan pandangan daripada pakar pendidikan, pakar pentaksiran tempatan dan luar negara, penasihat undang-undang dan pendapat orang ramai juga diambil kira dalam merekabentuk PBS. Kaedah pelaksanaan PBS adalah berdasarkan kepada model-model pentaksiran dari luar negara yang disesuaikan mengikut konteks budaya, kehendak tempatan dan acuan Malaysia tetapi masih setara dengan amalan pentaksiran antarabangsa. PBS berhasrat untuk memenuhi hasrat FPK dengan menilai potensi individu secara menyeluruh dari awal hingga tamat persekolahan dan tidak tertumpu kepada perkembangan intelek sahaja. PBS bukan sahaja mentaksir kebolehan kognitif individu tetapi menjurus kepada pembinaan sahsiah, motivasi diri, sosial individu, masyarakat dan keluarga yang dipupuk bersama dengan aspek kecemerlangan diri dan akademik individu. PBS berupaya menyumbang kepada pembentukan modal insan yang berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berdaya mencipta peluang baharu, mempunyai ketahanan dan kebolehan berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah.

“…Bagi melaksanakan pentaksian secara holistik, Kementerian melaksanakan kedua-dua bentuk penilaian iaitu peperiksaan awam dan juga Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Melalui pelaksanaan PBS, pendekatan paling tepat dapat digunakan untuk memantau dan menilai samada enam ciri aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional benar-benar dapat dibangunkan dalam diri murid melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah.”

Menteri Pelajaran Malaysia
2013

PBS ialah sistem pentaksiran untuk mendapatkan gambaran tentang potensi individu, membantu mengembangkan potensi individu, memantau pertumbuhan dan potensi individu yang menjalani sistem persekolahan di Malaysia dan seterusnya melahirkan individu bersifat holistik.

Pentaksiran pendidikan ialah integrasi proses mengumpul maklumat tentang pembelajaran murid, (apa yang murid tahu, faham, boleh buat dan mengamalkannya), memberi nilai kepada maklumat, menginterpretasi maklumat, membuat inferens dan membuat keputusan apa yang perlu dilakukan ke atas murid untuk memperbaiki pembelajarannya. Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara dua hala dan sepadu di mana sambil mengajar, seorang guru membuat pentaksiran secara formatif untuk mengenalpasti tahap penguasaan murid tentang apa yang dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada murid itu perlu mengulang balik atau meningkatkannya ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, guru akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut.

Proses mengumpul maklumat pembelajaran murid dilakukan dengan pelbagai cara samada dengan menggunakan instrumen pentaksiran seperti ujian, soal selidik, amali, kerja kursus dan pemerhatian. Maklumat yang terkumpul itu dinilai dan diinterpretasi supaya keputusan dapat dibuat berdasarkan inferens awal tentang kebolehan seseorang murid dalam pembelajarannya. Semua proses di atas berlaku secara dua hala antara satu sama lain sehingga proses pengajaran dan pentaksiran membantu murid meneruskan pembelajaran sepanjang hayat, dalam dunia yang memberikan penekanan kepada ‘life-long learning’, proses amat penting. Murid bukan sahaja ditaksir diakhir sesuatu unit pembelajaran tetapi murid juga perlu ditaksir semasa menjalani proses pengajaran dan pembelajarannya.


Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.