KENYATAAN BALAS KEPADA LAPORAN ‘SINDIKET TIPU PELAJAR’ BERITA HARIAN, 2 MAC 2014


KENYATAAN AKHBAR
YBHG. KETUA PENGARAH JABATAN PENGAJIAN TINGGI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


KENYATAAN BALAS KEPADA LAPORAN
‘SINDIKET TIPU PELAJAR’
BERITA HARIAN, 2 MAC 2014


Merujuk kepada laporan bertajuk ‘Sindiket Tipu Pelajar’ yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada muka surat 1, 8 dan 9 bertarikh 2 Mac 2014, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan penglibatan KPM dalam sindiket yang dimaksudkan.

KPM melalui portal rasmi http://www.moe.gov.my pada 21 Januari dan 27 Februari 2014 juga telah mengeluarkan kenyataan kepada umum berkaitan isu tersebut selepas menerima aduan dan pertanyaan berkenaan isu pas masuk percuma ‘SESI KEMASUKAN AWAL PROGRAM DIPLOMA IPT’ yang dikeluarkan oleh Unit Pengambilan Khas Institut Pengajian Tinggi (UPKIPT) dan ‘NOTIS PANGGILAN SESI TEMUDUGA KEMASUKAN AWAL’ yang dikeluarkan oleh JABATAN PENGURUSAN SISWAZAH.

Sehubungan dengan itu, ditegaskan bahawa KPM tidak pernah mengeluarkan atau mengedarkan sebarang bentuk pas masuk percuma atau notis panggilan temu duga kemasukan awal kepada orang awam dan tidak pernah menganjurkan sebarang program sesi kemasukan awal ke IPT bagi program-program pengajian yang ditawarkan di IPT.

KPM juga tidak pernah meminta pemohon membuat sebarang pembayaran atau mengenakan sebarang caj untuk menghadiri temu duga bagi mana-mana program pengajian yang ditawarkan di IPT.

Justeru, orang awam diminta agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan maklumat yang dinyatakan dalam pas masuk percuma dan notis panggilan temu duga kemasukan awal tersebut dan dinasihatkan agar mendapatkan maklumat yang tepat dan telus bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Sebarang pertanyaan berhubung isu kemasukan pelajar boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi melalui talian 03-8870 6767 / 6777 atau dengan melayari Laman Web Rasmi Kemasukan di http://upu.moe.gov.my/.



Ketua Pengarah
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pendidikan Malaysia
3 Mac 2014



Kenyataan akhbar merujuk kepada laporan akhbar di bawah:

Comments

Post a Comment