Mahasiswa Melayu jangan terpedaya (Utusan Malaysia 24 November 2014)

Lebih 50% maklumat media baharu tidak berfakta

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Mahasiswa Melayu dinasihat tidak mudah mempercayai maklumat yang diperoleh daripada media baharu, sebaliknya menilai perkara tersebut berdasarkan fakta sahih.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, lebih 50 peratus maklumat yang disalurkan menerusi media baharu bersifat persepsi semata-mata dan tidak mempunyai fakta langsung.

Katanya, mahasiswa Melayu perlu menyedari terdapat beberapa pihak yang cuba untuk memporak-perandakan perpaduan pelbagai kaum di negara ini dengan menggunakan media baharu.

“Mahasiswa berhak untuk membaca kesemua maklumat daripada media baharu, namun mereka perlu membuat penilaian sendiri sama ada itu fakta atau hanya persepsi.

“Jika mahasiswa percaya sepenuhnya terhadap maklumat tersebut, mereka tidak layak bergelar mahasiswa kerana gagal untuk berfikir secara rasional, malah tidak mustahil pemikiran mereka rosak akibat terlalu mempercayai media baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan hari kedua Persidangan Mahasiswa Nasional di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam persidangan hari ini, lapan kumpulan mahasiswa yang terdiri daripada Kelab UMNO Luar Negara dan institusi pengajian tinggi (IPT) membentangkan usul masing-masing di bawah empat topik iaitu agama, pendidikan, politik dan ekonomi.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mahasiswa Melayu perlu me­­­­­n­g­e­­­­­tahui strategi pembangkang untuk menarik sokongan mereka iaitu menggunakan persepsi dan tuduhan liar kepada kerajaan.

Katanya, sekiranya mahasiswa bijak dalam membuat penilaian, mereka dapat melihat UMNO sebagai parti politik yang membela nasib seluruh rakyat dan bukan hanya kaum Melayu.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mahasiswa-melayu-jangan-terpedaya-1.28464#sthash.s6AhDxnR.dpuf

Comments