Sebagai sebuah negara maju, Republik Korea telah dijadikan contoh bagi Malaysia untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi dari berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Kejayaan yang diraih oleh Republik Korea itu bukanlah sesuatu yang datang dengan sendiri. Negara tersebut terpaksa berhempas pulas untuk membina semula negaranya setelah musnah akibat peperangan, termasuk peperangan tradisi dengan Jepun.
Menurut RMKe-10, pada masa ini ekonomi Republik Korea telah mencecah satu trillion dolar dan merupakan ekonomi yang ke-13 terbesar di dunia.
Kemajuannya melangkau pelbagai bidang, termasuk penguasaan teknologi, penembusan jalur lebar dan prestasi pelajar.
Prestasi pelajar Republik Korea sentiasa berada dalam keadaan terbaik dalam kalangan negara yang mempunyai pencapaian tertinggi di peringkat antarabangsa termasuk Kajian Trend Antarabangsa Dalam Pencapaian Matematik dan Sains (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).
Menurut laporan RMKe-10 lagi, pencapaian ini amat menarik kerana Republik Korea begitu pantas bangkit dari kemusnahan akibat peperangan, sebagai sebuah negara yang mempunyai tenaga kerja berkos rendah, hanya dalam masa setengah abad bertukar menjadi sebuah negara kuasa besar ekonomi.
Kejayaan itu dicapai melalui kesungguhan Republik Korea mengubah sistem pendidikan mereka dengan membangunkan modal insan sebagai satu kaedah meningkatkan produktiviti bagi melonjakkan pembangunan.
Republik Korea juga sedar, untuk bersaing di peringkat global ia memerlukan satu dasar untuk menjadikan sebuah sistem pendidikan yang dapat memastikan semua pelajar disokong dan tidak diketepikan walaupun mencapai prestasi akademik yang rendah.
Republik Korea memperkukuhkan dasarnya apabila melaksanakan sistem pendidikan wajib hingga ke peringkat sekolah menengah, manakala di peringkat tertiari diadakan kerjasama erat dengan chaebol dan syarikat-syarikat besar, termasuk menubuhkan universiti korporat sebagai institusi pendidikan sepanjang hayat.
Sistem pendidikan teknikal dan latihan kemahiran diperkukuhkan bagi membolehkan setiap pelajar yang keluar pendidikan tersebut mempunyai kebolehpasaran dan membantu melonjak pertumbuhan ekonomi negara.
Republik Korea telah membuat pelaburan yang besar dalam pendidikan tertiari. Pada masa kini, enrolmen pelajar di institusi pengajian awam dan swasta dianggarkan berjumlah 3.6 juta pelajar.
Comments
Post a Comment