MALAYSIA GEMILANG DI WORLD DEBATE CHAMPIONSHIP


Malaysia telah menghantar wakilnya ke Pertandingan World Debate Championship di Cape Town. Afrika Selatan bermula 7 hingga 27 Januari 2012. Delegasi Malaysia adalah terdiri daripada 6 orang pelajar iaitu Abdurrazzaq Hazrin Fazail dari Sekolah Dato’ Abdul Razak, Ilmira Murni Bt Mohd. Hareeff daripada Kolej Tunku Kurshiah, Muhamad Faisal B. Khairol Anuar daripada Sekolah Sultan Alam Shah, Kelviin Manuel Pillay daripada SMK Sri Permata , Aaron Luke daripada SMK Damansara Utama dan Ong Ee Fen daripada Sekolah Sri KDU. Pn. Juliana Binti Shaharum daripada SM Tuanku Abdul Rahman pula menjadi guru pengiring. Tn Hj Rosland bin Hussien, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan dan Puan Wan Normah Bt. Wan Abd. Hayat daripada Bahagian Kewangan, KPM pula menjadi pemerhati . En Iqbal Hafiedz B. Ahmad Bazari pula menjadi wakil daripada Malaysian Institute of Debate and Public Speaking (MIDP)dan bertindak sebagai hakim di WSDC 2012. 

Bermula dengan Sejarah World Schools Debating Championships (WSDC), WSDC adalah satu-satunya pertandingan debat Bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh dunia. Setiap negara hanya dibenarkan untuk menghantar 1 pasukan sahaja.  Ia di anjurkan setiap tahun sejak 1988. Pertandingan ini buat pertama kalinya diadakan di Australia yang menyaksikan pasukan Kanada menggondol kejuaraan sulung. Hanya 6 pasukan sahaja yang bertanding ketika itu.

Kini, jumlah negara yang menghantar pasukannya untuk pertandingan WSDC ini telah bertambah hampir setiap tahun, pasti ada pasukan yang baru menyertai pertandingan ini. WSDC juga tidak lupa akan hakikat bahawa tidak semua negara menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Oleh itu,  bagi  menggalakkan dan menghargai perkara ini, hadiah dan penghargaan khas kepada pembahas dan pasukan terbaik bagi kategori ‘English-as-a-second-language (ESL)’ dan‘English-as-a-foreign-language (EFL)’ telah diwujudkan. Ini tidak bermakna bahawa negara-negara yang tergolong dalam pasukan yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau sebagai bahasa asing tidak setanding negara-negara yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama. Lihat sahaja pasukan negara Pakistan yang telah berjaya mara ke peringkat akhir sebanyak dua kali. Pencapaian negara-negara seperti Argentina, Peru dan Greece yang berjaya ke peringkat separuh akhir turut boleh dibanggakan.

Peluang untuk menyertai pertandingan ini, telah dimanfaatkan oleh para delegasi Malaysia dengan sebaiknya.  Guru dan pelajar-pelajar  yang menyertai ASDC 2011 telah mempelajari ilmu pengetahuan tentang perdebatan, penghakiman dan penganjuran pertandingan debat di peringkat antarabangsa. Banyak pengalaman ke arah menjadikan warga sekolah ini setanding dengan pelajar-pelajar dan guru-guru di arena antarabangsa telah di perolehi. Pada tahun ini, pasukan Malaysia terdiri daripada murid-murid yang dipilih dari SBP dan Sekolah Harian telah mengharumkan nama Negara dengan menduduiki tempat ke-13 daripada 48 pasukan seluruh dunia. Ini merupakan satu peningkatan yang membanggakan kerana sebelum ini Malaysia menduduki tempat ke 36. Manakala pendebat Malaysia iaitu Aaron Luke (SMK Damansara Utama) menduduki tempat ke-10 dan Abdurrazzaq Hazrin Fazail (Sekolah Dato Abdul Razak) menduduki tempat ke-11 untuk kategori Top 20 English as a Second Language Speaker.

Di pertandingan ini pelajar telah berpeluang untuk berdebat terhadap isu-isu  sosial, moral dan politik global sebanyak lapan pusingan wajib. Peranan dan pasukan lawan telah ditentukan terlebih dahulu secara undian yang dilakukan lebih kurang dua bulan sebelumnya. Kesemua negara yang bertanding akan dikelaskan mengikut kategori. Kategori A bagi yang terbaik dan seterusnya hingga kategori H. Pada pertandingan WSDC ini Malaysia termasuk di dalam kategori E bersama-sama China, Qatar, Indonesia, USA dan Botswana. Setiap pasukan akan bertemu dengan satu pasukan dari setiap kategori. Setelah selesai kelapan-lapan pusingan, 16 pasukan yang memperoleh markah tertinggi akan terpilih untuk meneruskan pertandingan di pusingan kalah mati atau dipanggil pusingan akhir okto (Octo Final). 

Format yang digunakan adalah format “World Schools Style Debating”. Ini adalah kombinasi format ‘British Parliamentary” dan “Australian format”. Setiap sesi debat memperlihatkan dua pasukan iaitu pencadang dan pembangkang berdebat dengan tiga pendebat yang berpeluang untuk menyampaikan hujah masing-masing selama 8 minit setiap orang secara bergilir-gilir. Setelah itu, setiap pasukan memberikan hujahan balas selama 4 minit dan keutamaan diberikan kepada pihak pembangkang terlebih dahulu. Semua pendebat kecuali sewaktu hujahan balas, dibenarkan untuk membuat izin laluan.Ternyata format ini bukanlah suatu format yang asing bagi pelajar-pelajar kita kerana ianya telah diadaptasikan di dalam pertandingan bahas Piala Perdana Menteri dan juga pertandingan bahas Tan Sri Dato Wira Abdul Rahman Arshad.

Pada setiap pusingan debat, sebaik sahaja sesi debat selesai, para pendebat pula perlu bersedia untuk menjawab pelbagai soalan berkenaan usul yang didebatkan. Di sini para pelajar dari sekolah tuan rumah berpeluang untuk bertanya dan bersoal-jawab dengan para pendebat. Pada sesi ini para pelajar kita perlu berfikir dengan cepat serta memberi jawapan yang berkeyakinan kepada para penonton. Ternyata banyak perkongsian pendapat telah dilaksanakan.

Justeru, WSDC dilihat sebagai wadah yang baik untuk memperlihatkan  bakal-bakal   pemimpin berkongsi dan menimba banyak  pengetahuan, pengalaman  serta  kemahiran untuk menyediakan pelajar yang bermotivasi tinggi. Pengalaman lain yang diperolehi merangkumi aspek kepimpinan, pengucapan awam, intelek, ketahanan diri, kemahiran komunikasi, kerohanian, interaksi, penyelesaian masalah dan komitmen serta penglibatan dalam kumpulan. Kewujudan hubungan baik antara negara-negara yang bertanding telah dapat diperkukuhkan dengan penglibatan guru dan pelajar-pelajar di dalam aktiviti-aktiviti yang direncanakan penganjur.

Pada pertandingan WSDC 2012 ini pasukan Malaysia berjaya memenangi 6 daripada 8 pusingan debat yang wajib dilalui seperti yang tertera di dalam jadual di bawah. Secara keseluruhan, Malaysia menduduki tangga ke 13 daripada 48 pasukan yang bertanding.Ini adalah satu peningkatan yang membanggakan bagi pasukan Malaysia kerana sebelum ini kita hanya menduduki tempat ke 36. Buat julung kalinya juga, negra Malaysia telah Berjaya mara ke pusingan akhir Okto yang menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasukan debat terbaik dunia. Keputusan ini melayakkan Malaysia menjadi pasukan ke 2 terbaik bagi kategori Bahasa Inggeris sebagai Bahasa kedua. Keputusan terperinci semua pasukan adalah seperti dilampirkan.

Pusingan
Pencadang
Pembangkang
Keputusan
1
AUSTRALIA
MALAYSIA
Menang
2
MALAYSIA
DENMARK
Menang
3
MALAYSIA
SLOVAKIA
Kalah
4
PAKISTAN
MALAYSIA
Menang
5
CZECH REPUBLIC
MALAYSIA
Menang
6
MALAYSIA
INDIA
Kalah
7
MALAYSIA
PERU
Menang
8
USA
MALAYSIA
Menang

Pendebat Malaysia menduduki tempat ke-10 dan ke- 11 antara 50 pendebat terbaik keseluruhan bagi kategori kumpulan negara yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ke-2 (ESL). Keputusan ranking pendebat secara individu di lampirkan di bahagian lampiran.
Bagi kategori ESL juga, pasukan Malaysia menduduki tangga ke -2 terbaik keseluruhan di belakang Greece.

Pasukan Malaysia telah membuat beberapa kejutan pada pertandingan ini kerana telah berjaya menewaskan negara-negara seperti Australia yang telah banyak kali menjadi johan WSDC sebelum ini  dan Pakistan yang telah beberapa kali mara ke peringkat akhir.

Dengan pencapaian yang memberangsangkan pada WSDC 2012 ini, pasukan Malaysia telah layak untuk dinaik taraf kepada pasukan debat kategori C. Sebelum ini Malaysia hanya diiktiraf sebagai pasukan debat kategori E.

Keputusan akhir berpihak kepada pasukan Scotland dan Naib Johan jatuh kepada pasukan Wales. Perlawanan dilihat agak sengit dengan kedua-dua pasukan sentiasa berusaha mahu menegakkan kes masing-masing.Manakala pendebat terbaik keseluruhan WSDC 2011diberikan kepada Teoh Ren Jie daripada pasukan Singapura. Banyak yang telah dipelajari daripada pasukan-pasukan dan pendebat-pendebat yang hebat ini. 

Pihak Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) melihat aktiviti antarabangsa ini amat penting dijayakan bagi meningkatkan kualiti debat para pelajar sekolah di Malaysia, sekaligus ia menjadi penanda aras bagi warga sekolah dan peluang membuat jaringan dengan sekolah-sekolah di serata dunia. Di samping itu, peluang ini menjadi wadah untuk pelajar dan guru-guru untuk bertukar-tukar maklumat dan pengalaman dengan warga pendidik di luar negara selaras dengan  pepatah melayu, jauh berjalan luas pandangan. Sesungguhnya, penyertaan Malaysia ke WSDC 2012 tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa pembabitan dan kerjasama daripada pihak MIDP sebagai badan yang menguruskan penyertaan Malaysia ke WSDC 2012. Usahasama daripada pihak MIDP ini adalah sangat dihargai.




Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments