STPM Format Baharu Bagi Tahun 2012

Majlis Peperiksaan Malaysia akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan yang sedia ada bermula sesi pengambilan 2012/2013 bagi tingkatan enam bawah.

Menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, ini adalah selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan bagi memperkasakan program pendidikan di tingkatan enam.

“Pada tahun 2012, sistem peperiksaan STPM akan dijalankan dalam dua mod.  Mod pertama ialah sistem peperiksaan STPM sedia ada bagi pelajar yang sedang mengikuti tingkatan enam atas pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort terakhir yang akan menamatkan sistem peperiksaan STPM sedia ada. 

“Mod kedua pula ialah bagi pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2012. Mereka merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012, “ tambah Prof Dato’ Mohd Noh Alimin ketika mengumumkan analisis keputusan STPM 2011 pada 7 Mac 2012.

Menurut beliau, dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian tingkatan enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan yang sedia ada.  Begitu juga dari segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya yang masih sama dengan sistem yang sedia ada.

”Dari segi kandungan pengajian, dalam sistem ini, kandungan pengajiannya dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal, iaitu Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama 1½ tahun, “ tambahnya
Dalam aspek pentaksiran pula, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20% hingga 40% dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60% hingga 80%. Buat pertama kalinya, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran tingkatan enam.  Ini merupakan “sejarah bagi Majlis Peperiksaan Malaysia setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun.
PBS ini terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Kerja kursus ini akan dijalankan dalam setiap penggal atau dalam penggal tertentu sahaja. Penilaian kerja kursus akan dibuat oleh guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.
Pengenalan kepada PBS dalam sistem pentaksiran baharu STPM ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek serta memperluaskan peluang pendidikan kepada semua yang berpotensi.  

Menurut Pengerusi MPM itu lagi, “Ini juga bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian agar lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil (outcome-based education) yang lebih berfokuskan pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.”

Pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.


Satu kelebihan dalam sistem ini ialah pelajar diberi peluang untuk memperbaiki keputusan peperiksaan. Pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir Penggal 1 dan/atau Penggal 2 dengan menduduki semula peperiksaan pada hujung Penggal 3. 

Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi Penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir Penggal 3.   Selain daripada itu, beban bagi pelajar untuk mempelajari kandungan kurikulum adalah kurang dan mereka lebih fokus menghadapi pembelajaran.  

Pelajar juga mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperoleh pencapaian yang lebih baik bagi setiap penggal kerana skop pengajian yang dinilai pada setiap penggal adalah kecil. 

Dengan pelaksanaan sistem itu, Majlis Peperiksaan Malaysia berharap ia dapat memperkasa dan mengangkat martabat pengajian peringkat prauniversiti di tingkatan enam serta dapat menarik lebih ramai lagi para pelajar mengikuti pengajian prauniversiti ini.


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments