MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN PENDAFTARAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA NEGERI JOHOR SEBAGAI SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK) ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN KERAJAAN NEGERI JOHOR


Bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa dipertingkatkan, kerajaan telah melaksanakan langkah proaktif dengan mendaftarkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), di mana jumlahnya sehingga kini ialah sebanyak 169 buah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin ketika berucap di majlis menandatangani memorandum persefahaman pendaftaran sekolah-sekolah agama negeri Johor sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor pada 14 Ogos 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru berkata hasrat tersebut amat bertepatan dengan matlamat pembangunan modal insan negara yang ingin melihat lebih ramai professional agama.

Sehubungan itu, beliau yakin menerusi kerjasama erat diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor, proses pembangunan modal insan rakyat Negeri Johor akan dapat direalisasikan.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.


Selain itu, menurut Tan Sri Muhyiddin, guru-guru SABK juga akan diberikan latihan yang bersesuaian, selain gaji yang lebih kompetitif, serta layak menerima pelbagai kemudahan seperti kenaikan pangkat, pencen, pinjaman perumahan dan sebagainya.   Sehubungan itu, dengan kemasukan 25 buah sekolah agama Negeri Johor sebagai SABK, seramai 684 guru dan 116 kakitangan sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah KPM.


Selain itu, murid-murid di SABK juga akan mendapat pendidikan yang lebih berkualiti, di samping pelbagai kemudahan seperti Bantuan Perkapita, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Buku Teks dan sebagainya, sebagaimana yang dinikmati oleh sekolah-sekolah arus perdana. Tan Sri Muhyiddin turut menarik perhatian masyarakat terhadap pencapaian akademik pelajar di SABK yang didapati meningkat berbanding sebelum sekolah berkenaan didaftarkan sebagai SABK, di mana pada tahun ini sahaja, sebanyak 18 buah sekolah SABK telah dianugerahkan tawaran baru (new deal) di atas pencapaian dan lonjakan prestasi yang memberangsangkan.



Dalam aspek pembangunan, SABK juga akan menerima bantuan untuk pembangunan fizikal bagi memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.  Menurut Tan Sri Muhyiddin, sehingga kini, lebih daripada RM5.2 juta telah diperuntukkan untuk tiga buah sekolah di negeri Johor.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments