SAMBUTAN HARI UNESCO MALAYSIA 2012



Malaysia kini sedang melaksanakan pelbagai strategi yang komprehensif untuk meningkatkan kualiti pendidikan, dengan menjadikan perluasan akses kepada pendidikan berkualiti sebagai salah satu elemen penting bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP).


Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia ketika merasmikan Hari UNESCO Malaysia 2012 pada 3 November 2012 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur berkata dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan sedang berusaha kearah memperluaskan akses kepada pendidikan awal melalui peningkatan kadar enrolmen di peringkat pra-sekolah, meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar, mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi dan menyediakan insentif bagi pemimpin sekolah serta guru-guru yang mempamerkan prestasi cemerlang. 


Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (School Improvement Programme – SIP) yang merupakan usaha komprehensif untuk merapatkan jurang bagi sekolah-sekolah yang berpretasi rendah.  Menurutnya, kelima-lima inisiatif di bawah NKRA Pendidikan menggunakan pendekatan secara holistik bagi memastikan semua pihak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, dan kesan yang menggalakkan daripadanya menunjukkan bahawa kadar enrolmen ke pra-sekolah telah mengalami peningkatan yang amat ketara, daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada tahun 2011, dan disasarkan meningkat kepada 87% pada akhir tahun 2012.   Manakala kadar literasi murid juga turut menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, daripada 87% bagi murid kohort Tahun 1 (2010), kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun 2011.Tambahnya, walaupun Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat Education For All (Pendidikan untuk Semua) menjelang 2015, namun sistem pendidikan perlu bergerak seiring dengan aspirasi negara, serta perlu mampu bersaing dengan negara-negara lain yang sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan mereka.  Sehubungan itu, Malaysia telah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 dan menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 yang telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 September 2012 lalu.
Selain melibatkan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat, penyediaan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara turut mendapatkan khidmat pakar-pakar pendidikan dari UNESCO.Menyentuh mengenai sambutan Hari UNESCO Malaysia 2012, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin berkata tema yang dipilih iaitu Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari (Education for Sustainable Development – ESD) adalah selaras dengan deklarasi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2002 iaitu UN Decade of Education for Sustainable Development (2005-2014) dimana UNESCO merupakan agensi peneraju bagi merealisasikan deklarasi tersebut. 
Malaysia yang buat masa ini menduduki kerusi International Bureau of Education (IBE), International Oceanographic Commission (IOC) serta buat julung kalinya terpilih menganggotai World Heritage Committee (WHC), salah satu jawatankuasa berprestij di bawah UNESCO yang bertanggungjawab sebagai sebuah badan penilai dalam meluluskan pencalonan tapak warisan dunia bagi tempoh 2012-2015. 


Malaysia juga menurutnya amat gembira dengan penyenaraian Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Jun 2012, selepas kejayaan penyenaraian tapak-tapak warisan yang lain iaitu Taman Negara Mulu dan Taman Kinabalu pada tahun 2000, dan Georgetown serta Melaka pada tahun 2008.  Pengiktirafan terbaharu itu menurut Tan Sri Muhyiddin amat bermakna kepada negara kerana ia membuktikan bahawa penempatan awal manusia zaman pra-sejarah juga wujud di Malaysia.


Sementara itu, Dato’ Dr. Rosli Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dalam ucapan aluannya berkata penganjuran Hari UNESCO Malaysia yang buat julung kalinya diadakan pada November 2011 hasil daripada cetusan idea Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mesyuarat Agung SKUM pada bulan April 2011 bertujuan untuk menonjolkan penglibatan dan pencapaian Malaysia di peringkat UNESCO di samping memberi pendedahan kepada masyarakat Malaysia mengenai peranan dan fungsi SKUM sebagai badan perantara dengan UNESCO.   


Menurutnya, sambutan Hari UNESCO ini juga merupakan wadah bagi SKUM untuk mendekati masyarakat Malaysia dan mendapatkan pandangan mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh SKUM selama ini bagi meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat global dan diharap penganjuran Hari UNESCO Malaysia pada kali ini mampu menarik minat pihak-pihak berkepentingan khususnya dari kalangan badan bukan kerajaan, sektor swasta dan orang awam untuk turut terlibat dan memberi sokongan kepada aktiviti dan program yang dianjurkan oleh SKUM.
Menurut Dato’ Dr. Rosli, selaras dengan tema sambutan Hari UNESCO Malaysia 2012, yang memperlihatkan akan  pentingnya hubungan pendidikan dalam pembangunan negara yang mampan merangkumi aspek ekonomi, kebudayaan, alam sekitar dan juga sosial, SKUM menyasarkan masyarakat Malaysia terutamanya golongan belia agar dapat didedahkan kepada metodologi peningkatan kompetensi melalui penghayatan komponen tersebut bagi mencapai pembangunan modal insan yang lestari.
Pelbagai program dan aktiviti diatur sepanjang sambutan Hari UNESCO Malaysia 2012 pada 3 dan 4 November 2012 di KLCC Park.  Antaranya ialah pameran, persembahan kebudayaan, pertunjukan permainan tradisional dan konsert kebudayaan.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments