Malaysia, sebagai negara pesat
membangun, sedang mengalami perubahan selaras dengan hasrat untuk mencapai
Wawasan 2020. Antara cabaran Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan dan
membangunkan masyarakat maju bersifat holistik. Masyarakat Malaysia ini mesti
dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua
potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara
lain. Misi Nasional yang diperkenalkan bertujuan untuk menyahut cabaran Wawasan
2020 dalam jangka masa 7 tahun akan datang. Pendekatan Misi Nasional memberi
penekanan ke atas pembangunan modal insan minda kelas pertama yang akan
merealisasikan kejayaan Malaysia sebagai negara yang dihormati dan disegani.
Seiring dengan Visi dan Aspirasi
yang dinyatakan dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 –
2025 (PPPM), menekankan konsep ‘kualiti’ yang perlu ada pada setiap murid. Maka
pendidikan, ibu bapa, murid dan semua ahli masyarakat perlu bersatu dalam
merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid yang holistik
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Untuk maju, PPPM menggunakan
semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi membangunkan pendidikan
seimbang sebagai asas pencapaian aspirasi murid. Ciri-ciri individu masyarakat
maju ini adalah untuk melengkapkan diri bagi menghadapi dunia global masa
hadapan.
Sistem Pendidikan merupakan
agenda penting dalam membangunkan dan memajukan negara. Sistem pentaksiran
dalam pendidikan boleh dijadikan instrumen penggerak bagi membentuk individu
cemerlang intelek, jasmani, rohani, emosi, sahsiah dan berkemahiran tinggi.
Setiap warga pendidik dan masyarakat umum perlu memahami matlamat sebenar
mengenai pentaksiran.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS) merupakan kaedah pentaksiran yang mencorakkan hala tuju sistem
pentaksiran baharu. Ia adalah hasil usaha sama para pemikir, pembentuk polisi,
wakil-wakil bahagian dan jabatan di Kementerian Pelajaran. Khidmat nasihat dan
pandangan daripada pakar pendidikan, pakar pentaksiran tempatan dan luar
negara, penasihat undang-undang dan pendapat orang ramai juga diambil kira
dalam merekabentuk PBS. Kaedah pelaksanaan PBS adalah berdasarkan kepada
model-model pentaksiran dari luar negara yang disesuaikan mengikut konteks
budaya, kehendak tempatan dan acuan Malaysia tetapi masih setara dengan amalan
pentaksiran antarabangsa. PBS berhasrat untuk memenuhi hasrat FPK dengan
menilai potensi individu secara menyeluruh dari awal hingga tamat persekolahan
dan tidak tertumpu kepada perkembangan intelek sahaja. PBS bukan sahaja
mentaksir kebolehan kognitif individu tetapi menjurus kepada pembinaan sahsiah,
motivasi diri, sosial individu, masyarakat dan keluarga yang dipupuk bersama
dengan aspek kecemerlangan diri dan akademik individu. PBS berupaya menyumbang
kepada pembentukan modal insan yang berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran
menyelesaikan masalah, berdaya mencipta peluang baharu, mempunyai ketahanan dan
kebolehan berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah.
“…Bagi
melaksanakan pentaksian secara holistik, Kementerian melaksanakan kedua-dua
bentuk penilaian iaitu peperiksaan awam dan juga Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Melalui pelaksanaan PBS, pendekatan paling tepat dapat digunakan untuk memantau
dan menilai samada enam ciri aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa, etika dan kerohanian dan
identiti nasional benar-benar dapat dibangunkan dalam diri murid melalui pengajaran
dan pembelajaran di sekolah.”
Menteri Pelajaran Malaysia
2013
PBS ialah sistem pentaksiran
untuk mendapatkan gambaran tentang potensi individu, membantu mengembangkan
potensi individu, memantau pertumbuhan dan potensi individu yang menjalani sistem
persekolahan di Malaysia dan seterusnya melahirkan individu bersifat holistik.
Pentaksiran pendidikan ialah
integrasi proses mengumpul maklumat tentang pembelajaran murid, (apa yang murid
tahu, faham, boleh buat dan mengamalkannya), memberi nilai kepada maklumat,
menginterpretasi maklumat, membuat inferens dan membuat keputusan apa yang
perlu dilakukan ke atas murid untuk memperbaiki pembelajarannya. Proses
pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara dua hala dan sepadu di
mana sambil mengajar, seorang guru membuat pentaksiran secara formatif untuk
mengenalpasti tahap penguasaan murid tentang apa yang dipelajari atau belum dan
dia tahu sama ada murid itu perlu mengulang balik atau meningkatkannya ke tahap
yang lebih tinggi. Di samping itu, guru akan menerapkan nilai-nilai murni dan
akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut.
Proses mengumpul maklumat
pembelajaran murid dilakukan dengan pelbagai cara samada dengan menggunakan
instrumen pentaksiran seperti ujian, soal selidik, amali, kerja kursus dan
pemerhatian. Maklumat yang terkumpul itu dinilai dan diinterpretasi supaya
keputusan dapat dibuat berdasarkan inferens awal tentang kebolehan seseorang
murid dalam pembelajarannya. Semua proses di atas berlaku secara dua hala antara
satu sama lain sehingga proses pengajaran dan pentaksiran membantu murid
meneruskan pembelajaran sepanjang hayat, dalam dunia yang memberikan penekanan
kepada ‘life-long learning’, proses amat penting. Murid bukan sahaja
ditaksir diakhir sesuatu unit pembelajaran tetapi murid juga perlu ditaksir
semasa menjalani proses pengajaran dan pembelajarannya.
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
Comments
Post a Comment