Pengiktirafan global

Oleh Sabaruddin Abd Ghani
(Harian Metro, 3 Julai 2010)
Prestasi cemerlang empat pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan, di sini, ketika menyertai persidangan alam sekitar di Stavanger, Norway, selama enam hari baru-baru ini membolehkan mereka membawa pulang dua anugerah diberi Persatuan Air Antarabangsa (IWA).

Pengiktirafan bertaraf global ‘World Penguin Award’ dan ‘World Fish School Award’ diterima itu berikutan kejayaan pelajar terbabit membentangkan kertas kerja berhubung kajian air dan peranan untuk manusia sejagat disediakan dalam bahasa Inggeris menepati modul pembentangan kertas kerja bagi kategori itu.

Pengetuanya, Nooriah Bahari, 52, berkata, kejayaan itu hasil komitmen semua guru, terutama guru penasihat Kelab Pencinta Alam dan ‘River Ranger’ (KPADRR) dan empat pelajar berkenaan menjalani latihan hampir tiga bulan sebagai persiapan sebelum menghadiri persidangan. Beliau berkata, sebaik menerima surat tawaran daripada penganjur persidangan terbabit, ‘The Young Agenda Foundation International House’ berpejabat di Stavenger, pihak sekolah bertungkus-lumus membuat persiapan, terutama penyediaan bahan bagi memantapkan kertas kerja untuk persidangan itu.

“Selain menyiapkan kertas kerja, empat pelajar dipilih di kalangan ahli KPADRR itu diberi pendedahan mengenai cara mengikuti program di peringkat antarabangsa serta motivasi jati diri bersemangatkan kenegaraan.

“Pelajar dan guru terbabit turut diterapkan semangat kenegaraan sejajar gagasan 1Malaysia dan Malaysia Boleh supaya mereka berusaha meraih kejayaan mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.


Pelajar tingkatan dua yang menyertai program pendidikan bertemakan Agenda Alam Sekitar Remaja berusia bawah 14 tahun itu ialah Nur Farina Wahab, Norfarhana Azizan, Mohd Hafiz Tanggamani dan Mohamad Hafizuddin Ahmad, diiringi guru penasihat KPADRR, S Kalaimani dan Nordiana Zainordin.


Mereka adalah antara 100 ahli KPADRR yang aktif serta menunjukkan komitmen tinggi dalam apa juga program dan aktiviti berhubung alam sekitar diadakan sama ada di peringkat daerah atau negeri. Selain Malaysia, 40 negara lain antaranya India, Palestin, Filipina, Russia, Norway, England, Namibia, Cameroon, Kenya, Madagascar, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan menghantar peserta masing-masing menyertai persidangan itu. Sementara itu, Kalaimani berkata, walaupun agak berat tugas diberi pihak sekolah untuk mengikuti persidangan berkenaan, dia dibantu Nordiana yang berusaha membimbing pelajar supaya pulang membawa kejayaan.

Comments