PELANCARAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KE-41 – GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA



Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac lalu,  di mana hanya 8 tahun diperlukan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke
DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin dalam ucapan pelancaran perayaan Hari Guru peringkat Kebangsaan pada 16 Mei 2012 di Kuala Kangsar, Perak berkata lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri itu juga, seramai 390 orang guru telah dinaikkan pangkat ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44.  Manakala bagi Guru Bukan Siswazah, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, 2,639 ke gred DGA34 dan 9,519 ke gred DGA32.

Disamping itu juga, seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012.

Dalam pada itu, seramai 854 Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 berkuatkuasa 1 Januari 2012. Baki 430 penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan 2,655 penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Kerajaan tambahnya, telah memperuntukkan sebanyak RM934 juta bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat  tersebut sekaligus jelas membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul.

Selain itu, KPM juga komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2015.  Buat masa ini program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.
Selaras dengan tema Hari Guru 2012, ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’, Tan Sri Muhyiddin, berkata KPM akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah, di mana bermula pada 2011, KPM telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan dan diharap KSSR menjadi landasan kepada guru untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.

KPM juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikiran melalui Program i-Think yang merupakan antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid.  Sebanyak 10 buah sekolah telah menjadi perintis program tersebut yang diharap akan diperluaskan ke seluruh negara bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Bagi mengatasi keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru.  Antaranya ialah menerusi sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.  Sistem yang telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah akan dilaksanakan di semua sekolah di bawah KPM menjelang 2013.

Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Satu cadangan mengenainya akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah KPM.

Semua Jabatan Pelajaran Negeri juga telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah, di mana pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan dan pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

Tan Sri Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya diatas kejayaan merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robot Olympiad di Abu Dhabi pada November 2011 yang sekaligus membuktikan bahawa pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Ucapan tahniah juga dipanjangkan kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas bagi kateogri Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted in Science pada tahun 2011 dan Cikgu Khairuddin bin Nasa serta Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak diatas kejayaan merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. 

Majlis diakhiri dengan upacara penyampaian Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Dato’ Haji Ahmad Azmey bin Haji Abu Talib, Datuk Mary Yap Kain Ching, Tuan Haji Mohd Azman bin Abdul Rashid dan Puan Lim Ia Lee @ Lim Irene, Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan Datuk Haji Hassan bin Harun dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2012 kepada Dato’ Haji Omar bin Mohd Hashim.







Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments