MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2012

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin berharap semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan badan-badan bukan kerajaan dapat membantu kerajaan dalam membuktikan kemampuan bahasa kebangsaan menjadi saluran kemajuan negara dengan melengkapkan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan.

Berucap di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 pada 10 Oktober 2012 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, Tan Sri Muhyiddin berkata hasrat kerajaan untuk menyaksikan nisbah 0.01% jumlah penerbitan setahun berbanding dengan jumlah rakyat, menunjukkan bahawa negara memerlukan 28 ribu judul setahun masih jauh daripada sasaran, dimana pada tahun 2011, hanya sekitar 17 ribu judul buku berjaya diterbitkan. Sehubungan itu, KPM melalui DBP telah mula merancang untuk menggerakkan Program Penerbitan Berpakej untuk 300 bidang ilmu agar menjelang tahun 2020 antra 3000 hingga 5000 judul baharu dapat diterbitkan yang turut merentas lapisan masyarakat. 

Timbalan Perdana Menteri melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012
Lafaz ikrar
Menurutnya, usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak pernah berakhir dan kelangsungan kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan terus diperkukuh, di mana kerajaan akan memastikan bahawa peranan bahasa Melayu akan terus ditingkatkan dan dimantapkan melalui pelbagai program dan inisiatif baharu seperti yang terdapat dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri. 

Acara pelepasan konvoi Kembara Bahasa 2012
Selain itu, bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi, Program Audit Bahasa di jabatan dan agensi kerajaan yang bertujuan memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi Negara akan mula dilaksanakan mulai tahun 2013. 


Kerajaan melalui DBP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan program tersebut dalam sektor perkhidmatan, pendidikan, komunikasi dan penyiaran, tempat awam, perdagangan dalam negeri, serta kewangan dan perbankan. Selain itu, kaedah penarafan bintang juga akan digunakan untuk memberikan penilaian kepada jabatan dan agensi kerajaan dalam pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 

Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada DBP dan JPA dalam pelaksanaan program terseubt. 

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hassan,Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran 11, Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr. Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments