30,000 guru diperlukan tingkat penguasaan bahasa ketiga - Muhyiddin (Berita Harian 29 November 2014)


KUALA LUMPUR: Sejumlah 30,000 guru diperlukan di semua sekolah seluruh negara dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa ketiga di kalangan pelajar.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kebanyakan perwakilan mendesak supaya bahasa ketiga diperkenalkan di semua sekolah dalam usaha memperkasakan anak Melayu menguasai lebih daripada dua bahasa.

"Sebenarnya, sistem sekolah kita pun sudah ada dasar itu (bahasa ketiga) dan sebahagian daripada anak-anak kita sudah pun mengambilnya... tetapi bilangan yang terbabit dalam bahasa ketiga ini adalah amat kecil.

"Sebab itu saya sokong usul supaya bahasa ketiga ini dijadikan sebagai satu pilihan elektif... maknanya seramai mungkin anak-anak Melayu dapat menguasai lebih daripada dua bahasa.

"Untuk merealisasikan usaha ini, saya perlu melantik sekurang-kurangnya 30,000 ribu guru pakar bahasa ketiga... ini kerana kita ada 10,000 sekolah. sudah pasti, jumlah itu sangat besar.

"Maka saya harapkan sokongan semua perwakilan dan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan, jika jawatan baru ini dapat diwujudkan, maka mudahlah untuk kita laksanakan dasar baru ini," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menyeru kepada pelajar Melayu menguasai bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa ketiga supaya memudahkan mereka berkomunikasi dengan kaum lain dalam pergaulan harian.

"Saya juga mahu anak Melayu kuasai bahasa Mandarin atau Tamil... supaya apa yang mereka bicarakan dalam kalangan mereka, anak-anak Melayu kita boleh faham," katanya.

Sumber:  http://www.bharian.com.my/node/20556

Comments