TELADAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DARI RASULLULLAH SAW

Buku setebal 292 halaman ini cuba mengkaji sifat-sifat kepimpinan Rasullulah SAW dalam membangunkan sumber manusia sehingga Islam bukan sahaja berkembang dengan pesat, malah berupaya mengukuhkan hubungan setiap manusia yang bernaung di bawahnya. Sebagai pemimpin ulong sepanjang sejarah peradaban manusia, Rasullullah SAW telah menunjukkan teladan terbaik dalam pengurusan sehingga diletakkan sebagai manusia yang paling berpengaruh dan menduduki tangga teratas sebagai manusia yang paling berpengaruh.

Dengan menggali pelbagai dimensi kehidupan, Baginda bukan sahaja dilihat sebagai seorang rasul, juga seorang pemimpin malah sebagai seorang pengurus yang paling berkesan dalam sejarah manusia hingga kini. Dalam pengurusan sumber manusia, Baginda berjaya membangunkan kumpulan yang sanggup melakukan apa sahaja demi memperkembangkan dakwah Islam, melalui kekuatan visi dan kejelasan misi.

Prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah berasaskan prinsip ketuhanan, kesejagatan, kemanusiaan, kebenaran, keharmonian, adil, mudah, dan dinamik. Prinsip ketuhanan diterapkan sepanjang masa dan setiap tindakan sehingga setiap orang merasakan apa yang dilakukan itu sebagai satu ibadah. Prinsip inilah yang cuba diterapkan secara mendalam dalam pengurusan Islam, tetapi sayangnya sebahagian besar pemimpin yang mengetuai organisasi moden Malaysia melupakan hakikat tersebut. Sebaliknya, semakin ramai pengurus sumber manusia di Malaysia menjadi terlalu mudah melafazkan fahaman pengurusan barat melalui petikan kata-kata pelopor utama dan pendiri falsafah pengurusan sama ada berasaskan behaviorisme ataupun transaksional.

Kekuatan prinsip ini tidak dijelmakan dalam semua bentuk tindakan kecuailah pada permulaannya sahaja, iaitu sekadar berdoa dan memberikan salam. Dalam setiap perancangan, atas dasar falsafah pengurusan barat yang menekankan nilai materialistik, para pengurus lebih mematlamatkan pengurusan kepada kesan yang boleh diukur, misalnya pulangan pelaburan, hasil yang dikeluarkan dan sebagainya.

Hasilnya menyebabkan pekerja hanya dianggap sebagai alat pengeluaran melalui prinsip hubungan manusia-mesin-modal-kaedah-output. Islam menetapkan prinsip pengurusan berdasarkan keyakinan terhadap keredaaan Allah SWT, dan dengan itu setiap pekerja menghayati secara mendalam prinsip ketakwaan, kalimat tauhid, pemurnian akidah, penyerahan dan penyempurnaan amanah.

Prinsip pengurusan universal (nilai-nilai kesejagatan) boleh diterapkan pada bila-bila masa, tanpa mengehadkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Prinsip ini amat berbeza dengan nilai pengurusan barat yang lebih memilih dan mengehadkan tanggungjawab seseorang. Seorang pekerja bawahan tidak digalakkan bergaul dengan pihak atasan, mereka dipisahkan oleh kuasa membuat keputusan. Sumbangan pekerja bawahan ialah mengeluarkan hasil, manakala pekerja atasan menguruskan hasil seperti pemasaran, penentuan harga dan sebagainya. Dalam hal ini, ada kecenderungan pekerja tidak boleh memiliki barangan yang mereka keluarkan, sama ada sebagai pengguna ataupun pembeli. Ini disebabkan harga yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar walaupun dengan mengumpul semua jumlah upah tahunan.

Prinsip kemanusiaan yang diterapkan dalam pengurusan Rasulullah SAW ialah melalui usaha memahami semua sikap, manakala teladan yang menghasilkan perilaku prestasi menelurkan teladan setiap orang. Ini amat berbeza dengan prinsip pengurusan barat yang meletakkan kedudukan pemimpin atasan sebagai elit kuasa yang tidak boleh disentuh oleh pekerja bawahan. Prinsip “ketua sentiasa betul” menjadi amalan sehingga menjadikan pekerja bawahan tidak ubah seperti alat-alat yang lain, boleh dibuang atau disingkirkan tanpa pertimbangan kemanusiaan. Takut menerima ugutan dipecat, pekerja terpaksa akur walaupun arahan yang diberikan ternyata salah dan terkeluar daripada prinsip dan norma kemanusiaan.

Dengan mengetepikan kebenaran, prinsip pengurusan barat sanggup meletakkan tipu daya sebagai strategi pengurusan sumber manusia. Di sinilah lahirnya pelobi, pembodek yang membelenggu organisasi sehingga menyebabkan mereka yang kurang sifat-sifat itu tidak mendapat tempat yang baik. Mereka yang pandai bercakap, petah menyusun kata-kata dinilai sebagai kekuatan manakala yang mahir dan berketampilan hanyalah sebagai batu loncatan. Prinsip keadilan berdasarkan ruang tugas, hak, kewajiban, kompetensi dan integriti hanyalah mainan kata-kata, tindakan pemimpin atasan tidak mencerminkan arah tersebut. Maka dengan itulah lahirnya pemimpin yang korup, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme dalam organisasi.

Prinsip pengurusan Rasulullah SAW mengaplikasikan prinsip mudah, iaitu sederhana. Prinsip ini akhir-akhir ini cuba dikembangkan oleh Edward de Bono melalui konsep simpilicity, agar setiap orang dalam organisasi memahami tanggungjawabnya. Rasullullah SAW tidak memperkenalkan jargon pengurusan yang berbelit-belit sepertimana prinsip pengurusan moden yang diperkenalkan melalui pelbagai teori hasil penyelidikan psikologi terhad. Kaedah penarafan tertentu juga menyebabkan pekerja lebih banyak menghabiskan masa untuk memahami perkara-perkara teknikal berbanding dengan hakikat organisasi itu sendiri.

Kerana terlalu banyak perkara teknikal, kadangkala menyebabkan pengurusan menjadi terlalu sesak dan penuh kepalsuan etika. Setiap hari ada perubahan nilai, yang mana nilai-nilai tersebut semakin melebarkan jarak antara seorang pekerja dengan pekerja yang lain. Jajaran pekerjaan menjadi terlalu khusus dan antaranya tidak mempunyai interaksi emosi secara dinamik.

Keunggulan pengurusan Rasullullah SAW dapat dilihat melalui peribadi yang komunikatif (tabligh), melalui amalan qaulan ma’rufan (perkataan yang baik dan istilah yang lemah lembut), qaulan sadiidin (perkataan yang benar, tidak berbohong dan berbelit-belit), qaulan balighan (fasih, jelas maknanya, terang dan tepat pengungkapannya), qaulan maisuran (tidak melecehkan), qaulan layyinan (perkataan yang lemah lembut) dan qaulan tsaqilan (perkataan yang tepat dan berkesan, boleh menjernihkan perasaan pendengar).

Berbanding dengan pengurusan barat, seorang ketua adakalanya menggunakan kata-kata kesat kepada pekerja bawahan. Apabila pemikiran pekerja bawahan tidak selaras dengan pemikiran atau aspirasinya, maka pekerja tersebut dianggap sebagai bermasalah. Sikap mendidik dan memberikan contoh teladan yang baik tidak pernah ditunjukkan, dan kerana itulah pekerja dilanyak tanpa memikirkan perasaan dan nilai-nilai kemanusiaan. Hakikat kepimpinan seperti inilah yang banyak dilahirkan melalui prinsisp pengurusan barat sehingga menimbulkan pertembungan dan permusuhan.

Pekerja bawahan menjadi terlalu takut untuk menemui pemimpin atasan kerana setiap kali interaksi berlaku, berada dalam suasana memendam rasa, takut, gelisah dan tidak harmoni. Pemimpin atasan bersifat mengarah dan melecehkan setiap pendapat yang berbeza, walhal pekerja bawahanlah sebenarnya banyak menyumbang kepada kelangsungan organisasi. Apabila organisasi menghadapi masalah, pemimpin atasan seringkali menganjurkan perubahan. Keperluan kepada perubahan sikap dan tindakan hanya terhad kepada pekerja bawahan, manakala pekerja atasan masih mengamalkan tabiat lama, menyalahkan orang lain di atas kegagalan organisasi yang dipimpinnya.

Prinsip pengurusan sumber manusia yang diamalkan oleh Rasulullah SAW telah berupaya meletakkan Islam sebagai perseimbangan hakikat diri manusia sebagai hamba Allah SWT dan ahli kumpulan masyarakat (umat) yang besar. Inilah sumber daya pengurusan yang seharusnya diaplikasikan dalam pengurusan manusia, jika inginkan organisasi cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan meminggirkan prinsip keteladanan, pengurusan organisasi bukan sahaja bermasalah, tetapi lenyap akhirnya.

Buku ini memberikan pengetahuan asas mengenai prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasullullah SAW dan perlu dipraktikan oleh setiap orang, kerana kita memimpin. Kita perlu mempunyai kekuatan bagi dicontohi oleh orang yang kita pimpin. Kekuatan kepimpinan kita bukan terletak kepada kebolehan kita melecehkan orang lain, ia bergantung kepada kekuatan interaksi dengan orang lain, termasuk menghargai mereka dan meletakkan prinsip tauhid dalam setiap bentuk tindakan dan keputusan.

Judul Buku : Rasulullah, Way of Managing People
Penulis : Haryanto
Penerbit : Khalifa (Pustaka Al-Kautsar Group), 2008

Comments

  1. Salam.
    Setuju dengan kenyataan dalam artikel ini : "Prinsip inilah yang cuba diterapkan secara mendalam dalam pengurusan Islam, tetapi sayangnya sebahagian besar pemimpin yang mengetuai organisasi moden Malaysia melupakan hakikat tersebut" (perenggan ke-3).

    ReplyDelete

Post a Comment