Calon Cemerlang STPM 2011 Merosot

Jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM telah berkurangan seramai 45 berbanding pada tahun 2010.

Menurut kenyataan analisis keputusan STP yang keluarkan semalam, seramai 298 calon (0.59%) mendapat PNGK 4.00 berbanding 343 calon (0.68%) pada tahun 2010, iaitu 155 orang adalah calon aliran sastera dan 143 orang adalah calon aliran sains.

Daripada keseluruhan calon yang cemerlang, 162 orang adalah perempuan manakala 136 orang adalah calon lelaki.  

Pencapaian pada tahap PNGK 3.50 hingga 3.99 juga  terdapat penurunan sebanyak 23 orang, iaitu dari 3,631 (7.18%) tahun 2010 kepada 3,608 calon (7.12%) pada tahun 2011.

Menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohd Noh Dalimin, “Jika dilihat dari segi kelulusan peringkat lulus penuh,  sebanyak 46,712 atau 92.19% calon telah lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan STPM 2011 berbanding dengan 46,795 atau 92.50% dalam peperiksaan STPM 2010, iaitu menurun 0.31%.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,579 calon (5.09%) telah lulus penuh lima mata pelajaran, 20,638 calon (40.73%) lulus penuh empat mata pelajaran, 10,221 calon (20.17%)  lulus penuh tiga mata pelajaran, 7,074 calon (13.96%) lulus penuh dua mata pelajaran, dan 6,200 calon (12.24%) lulus penuh satu mata pelajaran, “ tambah beliau.  
Peperiksaan bertulis STPM 2011 telah dijalankan pada   21 November hingga 15 Disember 2011 di 744 buah pusat peperiksaan di seluruh negara , melibatkan seramai 4,942 orang pengawas dan 1,788 orang pemeriksa untuk memeriksa skrip jawapan bagi kesemua 23 mata pelajaran.

Seramai 53,687 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan iaitu meningkat sebanyak 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan calon pada tahun 2010, iaitu seramai  53,671 orang calon.

Daripada keseluruhan calon yang mendaftar itu,  48,247 (89.87%) adalah calon sekolah kerajaan, 1,259 (2.35%) calon sekolah swasta, 3,990 (7.43%) calon persendirian individu, 187 (0.35%) calon sekolah kerajaan negeri, dan 4 (0.01%) calon sekolah integriti. 

Seramai 50,669 calon (94.38%) telah menduduki peperiksaan STPM berbanding dengan 50,590 calon (94.26%) pada tahun 2010, iaitu meliputi 32,580 (64.30%) calon perempuan dan 18,089 (35.70%) calon lelaki.

Jumlah calon perempuan terus mengatasi calon lelaki, iaitu dengan nisbah 2:1.

Dari segi aliran pula, sebanyak 8,133 (16.05%) adalah calon aliran sains, manakala 42,536 (83.95%) adalah calon aliran sastera manakala calon Bumiputera ialah 34,315 (67.72%), Cina 12,614 (24.89%), kaum India 3,082 (6.08%), dan kaum-kaum lain 658 (1.30%).

Sebanyak 23 mata pelajaran telah ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2011 dan hanya 9,290 calon (17.30%) mendaftar untuk mengambil 5 mata pelajaran, manakala 42,899 (79.91%) calon mendaftar untuk mengambil 4 mata pelajaran. 


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments