SENAMROBIK SERENTAK 1 MURID 1 SUKAN 1 MALAYSIA

YAB  Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia telah menyertai senamrobik bersama 3,000 peserta terdiri dari murid, guru dan warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sempena Majlis Pelancaran Program Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia 2012 di Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor.


Senamrobik yang diadakan serentak di seluruh negara pada 10 Julai 2012 telah menarik penyertaan hampir  3,660,580 juta murid serta guru dari 10,000 sekolah rendah dan menengah. Kejayaan ini turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai senamrobik terbesar yang dianjurkan di negara ini. Sijil pengiktirafan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud sambil disaksikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Tan Sri Muhyiddin ketika melancarkan program tersebut berkata, acara senamrobik itu adalah selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan setiap murid yang sihat menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan.  Ianya juga adalah sejajar dengan hasrat KPM untuk memupuk budaya bersukan daripada peringkat sekolah sebagai alat perpaduan dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.


Program yang disiarkan secara langsung di saluran RTM dan TV3 ini merupakan kesinambungan kepada Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang telah diadakan di Taiping, Perak tahun lalu. Acara lain yang turut diadakan di Sekolah Wawasan USJ15 ialah sukan futsal dan bola jaring serta pameran oleh bahagian-bahagian di bawah KPM.



Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Comments

  1. Senamrobik sesuai untuk golongan muda dan tua. Jadikan senamrobik sukan wajib guru-guru perempuan setiap sekolah demi kesihatan dan stamina mereka. Latihkan guru yang berminat dalam seni kejurulatihan senamrobik secara professional.

    ReplyDelete

Post a Comment