Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah melaksanakan Majlis Pelancaran 30
Judul Karya Asli Terbitan ITBM susulan daripada pengumuman Perdana Menteri,
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50
Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada 16 disember 2011 agar
setiap buku yang diterbitkan oleh ITBM dengan kerjasama PENA dan Percetakan
Nasional Malaysia Berhad (PNMB) perlu terbit dalam tempoh masa tiga hingga enam
bulan selepas manuskrip diterima daripada penulis.
ITBM
ternyata berjaya melaksanakan KPI yang ditetapkan itu dengan jauh melangkaui
sasaran menerusi penerbitan 30 judul buku dalam pelbagai bidang, berbanding 10
judul sebagaimana saranan Perdana Menteri.
Dalam ucapannya di Majlis Pelancaran 30 Judul buku Karya Asli Terbitan
ITBM di Seri Perdana, Putrajaya pada 3 Julai 2012, Perdana Menteri, Dato’ Seri
Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan amat menghargai peranan yang dimainkan
oleh para penulis di dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju
berpendapatan tinggi. Menurutnya
kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan
per kapita, kadar pertumbuhan ekonomi dan jumlah eksport semata-mata. Ia juga harus diukur daripada hasil
kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan daripada hasil penulisan.
Kerajaan juga katanya akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya
kepada para penulis untuk berkarya, disamping membantu golongan penulis
terutamanya generasi muda untuk memperkembangkan bakat mereka.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi ITBM, Datuk Dr. Sharuddin
Md. Salleh dan Pengarah Urusan ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron. Menurut Dr. Sharuddin, ITBM bersama PENA dan
Berita Harian telah mengadakan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi yang
terbuka kepada penulis di bawah umur 45 tahun. Sayembara yang masih berlangsung sehingga 31 Januari 2013 merupakan
salah satu strategi untuk mencungkil bakat penulisan generasi muda, selain menjadi
kaedah berkesan untuk mendapatkan manuskrip yang diperakui terbaik dan
berkualiti.
Kesemua buku yang dilancarkan itu boleh didapati di kedai buku ITBM di
Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju atau di rangkaian kedai buku utama seluruh
negara, selain menerusi laman e-Beli-belah (http://ecommerce.itbm.com.my)
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Comments
Post a Comment