Menteri nasihat guru jangan sertai Bersih 4 (Malaysian Insider, 26 Ogos 2015)

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada wartawan The Malaysian Insider semasa temuramah khas di pejabat beliau di Putrajaya semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 26 Ogos, 2015.

Meskipun yakin tidak ada guru akan menyertai perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu ini, Kementerian Pendidikan tetap mengingatkan golongan pendidik tersebut agar tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan yang menyalahi etika pekerjaan mereka.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihatkan guru agar akur, sebagai penjawat awam mereka seharusnya mengetahui peranan mereka selaras dengan ikrar yang dilafazkan sebelum ini.

"Saya tidak fikir ada guru yang akan membuat tindakan sedemikian. Kalau ada (yang menyertai) pun, maknanya itu kes individu, tidak gerombolan atau kumpulan, tidak memegang status guru," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

"Kalau itu, dia berani buat, berani tanggunglah risiko dia sendiri".

Beliau yang baru sahaja mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peraturan penjawat awam sendiri jelas dan penglibatan guru dalam mana-mana perhimpunan terlarang akan memberi kesan buruk kepada mereka.

"(Bergantung kepada) Sifat guru itu sendiri sebenarnya. Guru kalau makna keseluruhannya, adalah (individu) membawa sinar dan harapan kepada anak-anak sekolah.

"Saya menasihatkan, kalau boleh, kita tidak payah terjebak dalam hal-hal yang merugikan diri sendiri. Ini nasihat sahaja," katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Padang Terap dan baru dilantik ke jawatan sekarang susulan rombakan Kabinet pada hujung Julai lalu berkata, guru sebagai penjawat awam terikat dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Mengikut Peraturan 4(1), contoh kelakuan yang dianggap melanggar peraturan termasuk bersubahat dengan musuh negara, membocorkan rahsia kerajaan, memburuk serta memperkecil dasar serta tindakan kerajaan dan menganggotai pertubuhan yang mengancam keselamatan negara atau mengandungi anasir subversif.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengeluarkan kenyataan, perhimpunan Bersih 4 ialah "pertubuhan haram" dan perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos ini tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa serta dianjurkan pertubuhan tidak berdaftar.

Menurut KDN, Bersih 4 bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan rakyat Malaysia.

KDN juga mendakwa Bersih 4 menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan. – 26 Ogos, 2015.

The Malaysian Insider

Comments